top of page

Misi Bantuan Malaysia ke Gaza berlepas, hantar bantuan melalui darat sebelum sertai flotila

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 hours ago
  • 3 min read

AMIRUDIN (tengah) bercakap pada sidang media pada majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 6 April 2026. Foto Ihsan Pejabat MB Selangor
AMIRUDIN (tengah) bercakap pada sidang media pada majlis pelepasan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 6 April 2026. Foto Ihsan Pejabat MB Selangor

Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 yang membawa 30 kontena barangan keperluan kritikal seberat lebih 300 tan diharap membuka pintu kepada kemasukan bantuan lebih besar ke wilayah bergolak itu.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang mengetuai misi tersebut berkata, bantuan dalam misi melalui jalan darat ke pintu sempadan Mesir-Rafah itu dapat memberikan manfaat kepada hampir 100,000 penduduk Gaza yang terkepung selama ini.


“Anggaran kita, 100,000 orang terkesan [dapat manfaat] sekiranya kita berjaya melunaskan misi kali ini dan sudah pasti ia akan membuka pintu lebih luas kepada kehadiran bantuan-bantuan sokongan yang selama ini tersekat,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran misi itu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang petang tadi.


“Kali ini kita cuba untuk sampai ke bumi Gaza dengan niat kedamaian, dengan niat keamanan dan membebaskan sahabat dan saudara kita yang telah terperangkap."


Pada 3 April lalu, Pejabat Menteri Besar memaklumkan Amirudin akan mewakili Malaysia untuk mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi negara bersama Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.


Amirudin berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya melaksanakan amanah dan yakin mampu mengharungi cabaran misi ini.


“Kerajaan Persekutuan memberi kepercayaan kepada kumpulan misi untuk berunding dengan rakan negara melalui pendekatan hubungan kerajaan dengan kerajaan termasuk membuka laluan darat bagi menjayakan pelaksanaan misi ini,” katanya.


Beliau berkata misi tersebut menghantar mesej kemanusian, mewakili dunia dan masyarakat untuk sama-sama melihat pembebasan Palestin.


Dalam pada itu, Amirudin berkata misi tersebut kemudian akan menyertai delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 bermula dari Barcelona yang membabitkan kira-kira 3,000 sukarelawan dari 100 negara.


"Saya rasa sangat terharu dengan amanah besar yang telah diberikan oleh pihak kerajaan Malaysia untuk kita memulakan langkah ini di sini (Malaysia), (kemudian) di Kaherah, Mesir dan seterusnya di Barcelona,’’ ujarnya.


Beliau berkata jumlah peserta Malaysia dalam misi kali ini dijangka lebih ramai berbanding tahun lepas sekali gus mencerminkan peningkatan sokongan rakyat negara ini terhadap usaha kemanusiaan membantu rakyat Palestin.


“Tahun lepas ada 34 peserta Malaysia. Kali ini, kita telah menerima permohonan yang begitu banyak, jumlahnya akan dimaklumkan apabila kita mula membuat pelepasan dari Barcelona nanti.


Dalam pada itu, Amirudin dalam hantaran di Facebook berkata bantuan melalui jalan darat itu disusun bagi memenuhi keperluan asas rakyat Gaza yang berdepan kepungan berpanjangan serta sekatan kemasukan bekalan khususnya di sempadan Rafah.


Beliau memberitahu bantuan tersebut adalah hasil dari sumbangan jutaan rakyat Malaysia, termasuk syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerajaan negeri.


Jelas beliau Malaysia juga mencatat sejarah sebagai negara pertama yang menyertai misi ini secara kolektif sebagai sebuah negara, merangkumi komitmen menyeluruh daripada Kerajaan, agensi, NGO serta rakyat Malaysia.


Misi Sumud Nusantara 2026 adalah pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza di samping menggerakkan diplomasi kemanusiaan secara proaktif di peringkat antarabangsa, katanya.


"Saya memohon doa dari seluruh rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik agar kita bersatu atas nama kemanusiaan demi keamanan sejagat,"


Sekretariat Global Sumud Flotilla semalam mengumumkan misi akan berlepas sekali lagi ke Gaza pada 12 April ini dalam misi terbaharu cuba memecahkan kepungan haram Israel ke atas wilayah Palestin.


Misi kemanusiaan itu yang disifatkan terbesar pernah digerakkan oleh masyarakat sivil dijadual berlepas dari Barcelona melibatkan 80 kapal serta lebih 1,000 aktivis.


Menurut laporan media antarabangsa, jumlah rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan rejim Zionis di Gaza sejak 7 Oktober 2023 meningkat kepada 72,289 orang, dengan 172,043 lagi cedera.


Kementerian Kesihatan Gaza pada 3 April lalu jumlah korban sejak gencatan senjata meningkat kepada 713 dan 1,943 cedera.


Pihak berkuasa Gaza menegaskan Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata dan berusaha mengasingkan Gaza serta menafikan hak hidup rakyat Palestin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page