222 Cabang agresif tambah keahlian, formula kejayaan KEADILAN - Dr Gunaraj
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

KEADILAN perlu terus memperkukuhkan kekuatan akar umbi melalui gerakan keahlian yang lebih agresif melibatkan semua 222 Cabang di seluruh negara.
Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja, Dr Gunaraj George (gambar) berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program di Bandar Sentosa, susulan pengumuman kejayaan KEADILAN Cabang Kota Raja menubuhkan 25 ranting baharu serta merekodkan lebih 3,000 ahli menyertai cabang berkenaan, baru baru ini.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, pencapaian tersebut membuktikan bahawa sokongan terhadap KEADILAN terus berkembang dan kekuatan parti berada pada landasan yang kukuh.
"Kekuatan Parti Keadilan Rakyat pada hari ini tidak boleh dipertikaikan. Namun kekuatan itu perlu terus diperkasakan melalui penambahan ahli dan pengukuhan jentera akar umbi. Di hujung hari, kekuatan sebenar parti adalah ahli-ahlinya," katanya.
Dalam pada itu, Gunaraj turut menegaskan bahawa parti tidak perlu terlalu terkesan dengan mana-mana individu yang memilih untuk meninggalkan perjuangan.
"Dalam perjalanan politik, ramai telah datang dan ramai juga telah pergi. Itu adalah perkara biasa dalam mana-mana parti. Tiada siapa yang kekal selamanya, tetapi parti yang berteraskan perjuangan, visi dan objektif akan terus kekal."
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Negeri Sentosa menzahirkan keyakinan bahawa semakin ramai rakyat akan memilih untuk bersama KEADILAN berdasarkan kekuatan dasar, kestabilan perjuangan dan komitmen parti kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua 222 Cabang KEADILAN untuk menjadikan usaha menambah keahlian sebagai agenda utama dengan mendekati golongan muda, wanita, profesional, pekerja serta masyarakat pelbagai lapisan.
"Jangan tunggu rakyat datang kepada kita. Kita mesti turun padang, mendekati rakyat dan membuka ruang kepada lebih ramai untuk bersama perjuangan ini," katanya lagi.
Katanya, sekiranya setiap cabang dapat melaksanakan gerakan keahlian secara konsisten dan agresif, KEADILAN akan terus muncul sebagai sebuah parti yang lebih kuat, lebih mantap dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.




Comments