Kad klinik bahasa Mandarin: 'Rawatan kesihatan, selamatkan nyawa lebih utama'
- Akmal Manaf

- 9 hours ago
- 2 min read

Tindakan laskar siber pembangkang yang memainkan isu penggunaan tulisan Cina pada kad janji temu di sebuah klinik kesihatan kerajaan di ibu negara baru-baru ini, disifatkan sebagai modal politik murahan oleh pihak yang gagal memahami ajaran Islam sebenar.
Pengarah Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan berkata dalam kerangka Maqasid Syariah, menjaga nyawa merupakan satu keutamaan dan bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dan boleh difahami oleh pesakit yang mendapatkan rawatan.
"Pada orang yang mainkan isu ini sebenarnya lari daripada ajaran Islam. Menjaga nyawa mesti jadi keutamaan.
"Untuk itu saya kira ini adalah satu modal politik murahan yang saya rasa datang daripada mereka yang tidak memahami ajaran Islam yang sebenar.
"Apabila sudah sampai ke peringkat penjagaan nyawa, saya rasa tindakan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (mengeluarkan risalah dalam bahasa selain Bahasa Kebangsaan) adalah satu tindakan yang wajar dalam Islam," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan laskar siber pembangkang yang memanaskan isu tersebut.
Dalam pada itu, Amidi berpandangan keadaan yang berlaku ketika ini boleh disifatkan sebagai ‘namimah’ dalam adab Islam, iaitu perbuatan batu api yang cuba menimbulkan salah faham terhadap niat asal sesuatu perkara, sedangkan tujuan sebenar adalah untuk menjaga nyawa.
"Jadi mereka ini cuba untuk mewujudkan satu persepsi yang jahat seolah-olah mengenepikan bahasa (kebangsaan), sedangkan pada masa ini nyawa lebih penting daripada politik sempit yang mereka cuba mainkan.
"Mereka yang mengangkat benda ini sebagai isu (merupakan) orang tiada akhlak yang cuba untuk merosakkan hubungan antara kaum dan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan.
"Kalau mereka berjaya, maka apa yang berlaku adalah, sistem yang stabil ini akan terganggu kerana cuba memainkan sentimen-sentimen yang pada saya terlalu rendah nilainya.
"Perbincangan itu ada jalan keluarnya, tapi mereka cuba untuk menjurus kepada satu pemikiran yang sempit," bidas beliau lagi.
Baru-baru ini, tular di platform media sosial berkenaan kad janji temu di klinik kerajaan yang tidak menggunakan Bahasa Malaysia, yang kemudiannya diulang siar di platform Threads sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Bagaimanapun, terdapat juga warga maya yang membantah isu berkenaan dipolitikkan kerana melibatkan aspek perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.




Comments