top of page

Belanjawan Selangor 2026 disemak, fokus bantu rakyat hadapi impak perang Asia Barat

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 3 hours ago
  • 2 min read
AMIRUDIN membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 14 November 2025. Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Selangor
AMIRUDIN membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 14 November 2025. Foto Ihsan Pejabat Menteri Besar Selangor

Kerajaan Selangor akan menyemak semula Belanjawan Negeri 2026 dengan memberi fokus berkaitan kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat susulan impak krisis perang Asia Barat.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sokongan turut akan diberikan kepada sektor industri serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas.


"Untuk mempercepatkan proses ini, satu pasukan petugas khas krisis tenaga Selangor ditubuhkan melibatkan pakar berlatar belakang sosioekonomi, industri, tenaga, barang makanan, perbankan dan ahli akademik supaya langkah kerajaan negeri mengambil kira kesemua aspek penting dan bertepatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Amiruddin berkata kerajaan negeri bersetuju melantik bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai pengerusi pasukan khas tersebut dengan anggotanya melibatkan Pengarah MINDA-UKM, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan bekas CEO Maybank Islamic Datuk Mohamad Rafique Merican.


Jelas beliau pasukan petugas khas tersebut akan mencadangkan langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya perang berterusan.


Kata beliau setakat ini krisis perang Asia Barat yang menyaksikan sekatan di Selat Hormuz memberikan kesan kepada bekalan tenaga, baja serta urea bagi penghasilan makanan serta kimia dan helium yang merupakan bahan utama di hospital mahupun pembuatan semikonduktor.


Tambah Amirudin, kerajaan negeri akan mengumumkan langkah yang perlu diambil sebagai respon kepada isu bekalan dan kesannya kepada harga barang dengan fasa pertama usaha mitigasi diperkenalkan dalam tempoh dua minggu ini.


Sebagai permulaan katanya, Selangor akan memulakan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 15 April dari Selasa hingga Khamis setiap minggu bagi menjimatkan bahan bakar serta mengatasi kesesakan jalan raya di samping mengukuhkan produktiviti pegawai.


"Sektor swasta di Selangor turut digalak melaksanakan BDR melihat kepada kesesuaian industri dan kerajaan negeri sedia membantu dari segi adaptasi teknologi digital," ujarnya.


Selain itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan kecuali tugas berkaitan penggalakan pelaburan dan pelancongan dari luar negara ke Selangor.


"Perang ini meninggalkan kesan jangka masa panjang kepada ekonomi negara dan Selangor dengan setiap warga perlu berganding bahu supaya kita bersedia mengharungi cabaran yang akan dihadapi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page