top of page

Papagomo akui Fahmi tidak ceramah politik di masjid, kes saman fitnah selesai secara damai

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
FAHMI tiba bersama peguamnya di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 6 April 2026. Foto Ihsan Bernama
FAHMI tiba bersama peguamnya di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 6 April 2026. Foto Ihsan Bernama

Kes saman fitnah difailkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil terhadap penulis blog dikenali sebagai "Papagomo" diselesaikan secara damai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.


Beliau atau nama penuhnya Wan Muhammad Azri Wan Deris sebelum ini mendakwa Fahmi menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor pada 2023.


Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi dalam sidang media selepas prosiding mahkamah berkata kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian kes secara damai.


"Setelah mempertimbangkan penjelasan lanjut dan kenyataan dari pihak berkuasa daripada dalam surat khabar, ucapan plaintif di Masjid Nurul Yaqin, Kuang, Rawang, Selangor pada 30 Julai 2023 bukan satu kempen ceramah politik atau kenyataan berunsur politik.


"Isu yang timbul adalah salah faham yang tidak sepatutnya berbangkit sejak awal dan pihak-pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selain yang telah dipersetujui dalam kenyataan ini," katanya selepas prosiding di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, lapor Bernama.


Terdahulu, kes saman fitnah Fahmi terhadap bekas calon Pas kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Mohd Fauzan Madzlan turut diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.


Persetujuan tersebut disepakati selepas Fauzan bersetuju bahawa Fahmi tidak menyampaikan ceramah politik di dalam Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada 2023.


Dalam pada itu, Asheeq berkata prosiding saman fitnah Fahmi terhadap penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani berkaitan yang kes sama akan diteruskan esok selepas pihak terbabit gagal mencapai penyelesaian kes.


Ahli Parlimen Lembah Pantai itu akan memberikan keterangan bagi kes berkenaan esok, jelas peguam itu.


Dalam pada itu, Fahmi berkata dua daripada tiga kes tersebut telah membersihkan namanya di mana tuduhan sebelum ini memang tidak wajar dan tidak patut dilakukan serta ia berbentuk fitnah.


"Saya harap pada masa depan dalam apa-apa kes sekali pun kita semak dulu maklumat sebelum kita buat hantaran dalam media sosial dan harap kita mengambil pengajaran daripada insiden ini," katanya.


Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 5 September 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang menuduh beliau menyalahgunakan masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023 manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.


Beliau berkata kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik sepertimana yang difitnah oleh defendan.


Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page