top of page

Rakyat kesal perjuangan Pas jatuhkan PM semacam fardu ain - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 21
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, rakyat semakin kesal melihat tindakan Pas yang seolah-olah menjadikan usaha menjatuhkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'fardu ain' paling utama dalam perjuangan mereka berbanding menangani kemiskinan dan hal berkaitan masyarakat.


Katanya, sementara rakyat Kelantan semakin terhimpit dengan masalah serius seperti penularan dadah, kegiatan penyeludupan, dan terkini isu pesta gay yang mengejutkan, pemimpin Pas pula kelihatan begitu tekun menyusun strategi jalanan dan menghasilkan propaganda di TikTok.


''Mungkin mereka sedang sibuk buka francais demonstrasi pula. Pas ghairah nak jatuhkan Anwar tapi tak sempat nak jatuhkan kadar jenayah di Kelantan.


''Negeri 'Serambi Mekah' itu kini diserang dengan masalah najis dadah dari Tumpat ke Tanah Merah.


''Kelantan juga menjadi laluan utama penyeludupan di sempadan, kini dikejutkan pula dengan pesta gay yang diserbu polis.


''Persoalannya, mana perginya 'Negeri Islam'? Mana perginya 'Islam memimpin'? Mana perginya kerajaan yang kononnya 'lebih baik dari DAP dan PH'?'' soal beliau dalam satu kenyataan.


Realitinya Mahfuz secara sinis menyifatkan, kerajaan Pas Kelantan lebih banyak berceramah berbanding merangka dasar dan lebih banyak doa berbanding melakukan tindakan.


''Pas hari ini ibarat syarikat sendirian berhad berlabel Islam, tetapi hasil produknya kosong dasar sosial, gagal mewujudkan peluang pekerjaan dan hanya laku dalam pasaran emosi.


''Mereka tidak mampu membangunkan negeri sendiri, tapi mahu ajar negara bagaimana memilih Perdana Menteri.


''Kami percaya bahawa Islam bukan hanya untuk dipamerkan melalui papan tanda, tetapi dijelmakan dalam bentuk tadbir urus yang bersih, polisi sosial secara menyeluruh, pendidikan yang membina akhlak dan sahsiah serta pentadbiran yang memberi harapan dan tindakan,'' ujarnya lagi.


Dalam masa sama, mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut membangkitkan persoalan terhadap keupayaan Pas menguruskan negeri ditadbir mereka.


Katanya, apabila negeri sendiri pun masih tidak mampu diurus dengan baik, timbul persoalan bagaimana Pas mahu mentadbir Malaysia dan mahu bawa slogan 'Turun Anwar'?.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page