
Oleh: Abdullah Zaid
Pengumuman kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan sejak semalam paling gembira buat pesawah di Kedah, negeri yang terkenal dengan panggilan Jelapang Padi Negara.
Tinjauan Suara Keadilan di sekitar Kedah mendapati rata-rata masyarakat gembira terhadap inisiatif yang dibuat oleh Kerajaan Madani.
Bagi Roshidi Che Ros, 48 (gambar, atas), yang berasal dari Tanjung Dawai, kenaikan kadar subsidi itu dapat meningkatkan pendapatan pesawah dan membantu meringankan kos pengurusan tanaman padi.
"Kesan apabila PM umum semalam, sudah tentu golongan petani akan gembira dengan pengumuman tersebut, setelah 25 tahun harga tak dinaikkan.
"Kerajaan mengambil langkah pantas mencari jalan penyelesaian membantu pesawah dengan menaikkan kadar subsidi itu," katanya.
Turut berkongsi perasaan yang sama, Asparizal Hassan, 44 yang juga merupakan anak kepada pengusaha sawah padi. Beliau berkata kenaikan kadar itu sudah pasti membantu ramai pesawah di Kedah.

"Responden keluarga saya sendiri yang buat padi cukup seronok dengan pengumuman ini kerana meningkatkan pendapatan mereka," ujarnya.
Jelas bapa kepada seorang anak itu, berita baik tersebut boleh memberi memberi kesan kepada pengundian untuk memilih Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
"Ini baru 8 bulan tapi kita lihat banyak perubahan baik yang dibuat oleh kerajaan.
"Isu-isu seperti ini sudah tentu banyak dibincangkan di warung kerana golongan petani ini mereka tidak habiskan masa di Facebook dan Tiktok.
"Sebab itu saya lihat PRN kali ini rakyat Kedah boleh menilai kerajaan mana yang betul ikhlas pada rakyat," ujarnya lagi.
Senada dengannya, Manivanan, 58, yang menetap di Perlis juga bersetuju dengan pandangan tersebut.

Tambahnya, kesungguhan yang ditonjol oleh Kerajaan Perpaduan adalah bukti kewibaan gabungan tersebut dan bukannya seperti Menteri Besar negeri itu.
"Saya ada ramai kenalan Kedah yang buat bisnes padi, bukan orang parti.
"Mereka menilai kerajaan yang betul-betul buat kerja dan bukan asyik cari gaduh macam Sanusi, tapi tak dapatkan apa-apa hasil untuk negeri Kedah," sinis beliau kepada Sanusi.
Semalam, bermulalah kenaikan SSHP yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Selasa lalu. Tambahan subsidi itu merupakan kenaikan terbesar dalam sejarah negara.
Menurut PM, dengan kenaikan itu pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan yang akan meningkatkan pendapatan pesawah di negara ini.