Rakyat Johor hantar isyarat tolak politik perkauman, pilih kestabilan


Pengundi Johor diseru menjadi wakil kepada seluruh rakyat Malaysia dengan menghantar mesej jelas menolak politik perkauman dan sentimen kebencian, sebaliknya memilih kestabilan demi masa depan negara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH), Ustaz Ridzwan Abu Bakar (gambar) berkata, keputusan yang dibuat oleh rakyat Johor bukan sahaja penting kepada negeri itu, malah akan menjadi isyarat kepada landskap politik negara.
Menurut beliau, Malaysia kini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk meneruskan agenda pembangunan, kemakmuran dan kebebasan yang menjadi asas perjuangan negara sejak merdeka.
"Saya datang dari jauh untuk meminta rakyat Johor mewakili seluruh Malaysia menghantar isyarat yang jelas.
"Kita sudah tidak mahu politik emosi. Kita sudah tidak mahu politik yang memainkan sentimen bangsa dan kaum.
"Sebaliknya, kita mahu terus membangunkan negara, menjaga kemakmuran dan memberikan kebebasan kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada program Jelajah "Johor Ke Depan Undi Harapan" di Gambir, malam tadi.
Beliau berkata, Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-79 pada Ogos depan dan sepanjang tempoh itu, fokus perjuangan negara sentiasa berubah mengikut tuntutan zaman.
Katanya, pada era awal kemerdekaan, negara memberi tumpuan kepada pembangunan dan pembinaan negara bangsa sebelum memasuki fasa memperjuangkan kebebasan, demokrasi serta pilihan raya yang bersih.
"Selepas pembangunan dan kemakmuran, rakyat mula bercakap tentang kebebasan kerana masyarakat yang makmur tanpa kebebasan tidak akan mampu pergi lebih jauh.
"Begitu juga kebebasan tanpa kemakmuran, ia tidak membawa sebarang makna," katanya.
Ridzwan berkata, perubahan politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2018 membuktikan rakyat mahukan gabungan pembangunan, kemakmuran dan kebebasan dalam pentadbiran negara.
Menurutnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022 pula membuka lembaran baharu dengan menjadikan kestabilan sebagai keutamaan bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan.
"Kata kunci hari ini ialah kestabilan. Malaysia memerlukan sebuah negara yang stabil.
"Kita tidak lagi bercakap soal Cina, India atau Melayu, tetapi kita bercakap tentang hak kita bersama sebagai rakyat Malaysia.
"Selagi kita memegang kad pengenalan Malaysia, inilah tanah tumpah darah yang perlu kita pertahankan bersama," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Johor menggunakan hak mengundi pada 11 Julai ini untuk menghantar mesej bahawa rakyat mahukan politik yang lebih matang, inklusif dan berteraskan kestabilan.
"Mulakan dari Johor. Tunjukkan bahawa Malaysia perlu kekal stabil, dan kestabilan itu diterjemahkan melalui sokongan kepada Pakatan Harapan," katanya.




Comments