top of page

Rakyat Johor akan pantau pelaksanaan 63 Tekad BN Johor – Hanif

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 40 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan Johor yang diberi mandat majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai lalu perlu menunaikan 63 Tekad yang dijanjikan kepada rakyat, kata Ketua Cabang KEADILAN Pontian, Hanif Hosman (gambar).


Beliau berkata, keputusan rakyat memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) bukan sekadar mandat mentadbir negeri, sebaliknya amanah yang perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan setiap komitmen yang ditawarkan sepanjang kempen pilihan raya.


"Rakyat Johor telah membuat pilihan dan memberikan mandat yang jelas kepada BN. Kini tiba masanya Kerajaan Negeri membuktikan kesungguhan dengan melaksanakan 63 Tekad yang dijanjikan.


"Rakyat akan memantau setiap janji itu dapat direalisasikan kerana mandat yang diberikan datang bersama harapan agar kehidupan mereka menjadi lebih baik," katanya kepada Suara Keadilan.


Hanif berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan setiap isu yang membelenggu rakyat dapat diselesaikan secara berkesan.


Menurut beliau, keutamaan ketika ini ialah memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara tanpa mengira latar belakang politik.


Beliau turut mengingatkan agar setiap dasar dan program kerajaan negeri dilaksanakan secara adil serta tidak bersifat pilih kasih terhadap mana-mana kawasan atau kelompok masyarakat.


"Dasar kerajaan negeri mesti memberi manfaat kepada semua rakyat Johor.


"Tiada ruang untuk layanan berbeza berdasarkan kecenderungan politik kerana kerajaan adalah kerajaan untuk seluruh rakyat," katanya.


Dalam masa sama, Hanif yang juga ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) Johor menghargai komitmen kepimpinan BN di peringkat Persekutuan yang menegaskan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan MADANI akan diteruskan sehingga tamat penggal pentadbiran.


"Saya menghargai komitmen kepimpinan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan yang menegaskan kerjasama bersama Pakatan Harapan dalam Kerajaan MADANI akan diteruskan sehingga penghujung penggal pentadbiran.


"Komitmen ini penting bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara supaya agenda pembangunan, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara konsisten tanpa sebarang gangguan," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page