Rakyat jangan terpengaruh video 'pendedahan' tanpa bukti - AMK Selangor
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Video atau pendedahan tular yang mengaitkan nama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) tidak perlu dijadikan topik perbincangan umum kerana hal itu hanya konspirasi politik daripada pihak yang tidak senang dengan ketegasan pentadbiran PMX melawan korupsi.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) berkata, dalam dunia kini sesiapa sahaja boleh membuat pelbagai dakwaan, dirakam dan disebar tanpa mengemukakan sebarang bukti yang sah.
"Kita sebagai rakyat tak perlu terlampau percaya dengan pendedahan atau video yang katanya (seorang wanita) proksi (kepada) Datuk Seri Shamsul Iskandar dan sebagainya.
"Kalau nak menimbulkan sentimen, syak wasangka atau fitnah itu mudah. Datuk Seri Shamsul pun dah bagi kenyataan beliau akan melawan dan mempertahankan diri.
"Jadi kita tengok ruang undang-undang itu macam mana, siapa diputuskan bersalah dan siapa yang betul," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang tanggapan masyarakat dalam menilai video tular oleh Albert Tei yang kononnya mendedahkan seorang wanita ‘proksi’ kepada Shamsul Iskandar, yang turut menyaksikan nama Anwar Ibrahim terpalit dengan isu merakam beberapa ahli politik terbabit kes rasuah di Sabah.
Mengulas lanjut, Iman Haziq yang juga Ketua AMK Ampang menganggap isu yang sedang tular itu dirancang untuk memanaskan keadaan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Sabah yang telah hampir ke hari mengundi pada 29 Nov ini.
Katanya, penularan video itu disifatkan sebagai satu bentuk provokasi, malah tindakan mengaitkan nama PMX dalam isu tersebut juga dilihat sebagai berniat jahat bagi menjejaskan momentum PRN Sabah yang pada waktu ini memihak kepada Pakatan Harapan (PH).
Semalam, Shamsul Iskandar yang merupakan mantan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat terhadap dirinya dan Anwar.
Menurut Shamsul, Albert telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada PM untuk membuat rakaman ke atas beberapa ahli politik di Sabah.
"Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej PM dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen PRN Sabah," kata Shamsul dalam satu kenyataan.









Comments