top of page

Rakyat gembira, sambut baik insentif Rebat Rahmah sempena hari raya

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 31
  • 2 min read


Oleh: Hasbul Ahmad


Insentif Rebat Rahmah 2025, pakej internet percuma untuk hari raya yang diumumkan Kementerian Komunikasi baru-baru ini disambut baik oleh orang ramai.


Tinjauan Suara Keadilan di sekitar ibu negara mendapati orang ramai berasa gembira dengan pengumuman itu dan menganggap pakej internet percuma itu sebagai hadiah hari raya kepada para pengguna.


Rata-rata pengguna intermet yang ditemui berkata pakej tersebut membantu mereka berhubung dengan keluarga atau rakan melalui pesanan mesej, panggilan video, selain menyokong aktiviti ekonomi digital.


Seorang aktivis masyarakat yang mahu dikenali sebagai Haji Saadan Panglima (gambar atas) berkata, pakej internet percuma itu membolehkan individu sepertinya berhubung dengan ramai pihak sepanjang sambutan hari raya.


"Saya ini pegang banyak persatuan. Jadi data itu boleh digunakan untuk ‘contact’ kawan-kawan," katanya ketika ditemui di perkarangan kedutaan Amerika Syarikat selepas Himpunan Hari Al-Quds, Jumaat lalu.


Saadan yang juga pemimpin Pertubuhan Naluri Anak Seni Malaysia berharap agar inisiatif tersebut diperjelaskan secara terperinci untuk mengelakkan kekeliruan mahupun penyalahgunaan maklumat bagi tujuan yang salah oleh pihak-pihak tertentu.


Beliau yang juga veteran tentera itu menjelaskan, proses bagi menikmati pakej itu perlu mudah dan meyakinkan kerana tatacara yang mengelirukan menyebabkan orang ramai mungkin kurang minat untuk memanfaatkan inisiatif itu.


Dalam pada itu, seorang peniaga Sam Wiki ketika ditemui berkata, pakej itu membantu usahawan kecil sepertinya mempromosikan produk dan perkhidmatan secara dalam talian semasa musim perayaan.

Sam Wiki
Sam Wiki

"Contohnya saya mengusahakan perkhidmatan penyediaan pelamin, jadi akan kerap muatnaik kandungan di dalam Tiktok, seperti pakej-pakej yang saya tawarkan," katanya kepada Suara Keadilan.


"Selain itu saya juga boleh promosikan perniagaan saya di pasar malam. Biasanya saya akan manfaatkan sehingga habis (data tersebut)," ujarnya yang turut mengusahakan perniagaan jus tembikai segar di pasar-pasar malam sekitar Kuala Lumpur.


Kementerian Komunikasi baru-baru ini mengumumkan pemberian insentif Rebat Rahmah berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warganegara Malaysia prabayar dan pascabayar pada Hari Raya Aidilfitri pertama.


Tambahan kuota data ini sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.


Usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat di samping mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.


Dalam pada itu, seorang peniaga makanan, Firdaus Daud ketika ditemui berkata pakej tersebut boleh dimanfaatkan sepanjang cuti hari raya untuk beliau mengeratkan silaturrahim dan berhubung dengan sanak-saudara dan rakan -rakan.

 Firdaus Daud
 Firdaus Daud

"Ok kalau buat macam itu (pakej percuma oleh syarikat telekomunikasi). Sekurang-kurangnya kita boleh guna pada hari cuti raya untuk berhubung dengan keluarga dan sebagainya.


"Cuma kena promosi lebih awal. Saya tak ada dengar apa-apa pun promosi atau makluman tentang insentif pakej percuma dalam tempoh dua tiga hari ini.


"Jadi Telco kena beritahu (orang ramai) di radio, TV, Youtube atau Tiktok. Maklumat kena disampaikan, sama ada lima hari atau seminggu lebih awal," kata Firdaus yang mengusahakan perniagaan cucur udang di pasar malam Pantai Dalam.

Komentarze


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page