top of page

"Rakyat boleh nilai siapa bersungguh pulihkan ekonomi negara"

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Rakyat disaran menilai sendiri pihak mana yang benar-benar memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negara berbanding mereka yang terlibat dalam percaturan politik sehingga menjadi punca berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Kamil Munim (gambar) berkata dalam keadaan negara berdepan cabaran krisis tenaga global, keutamaan seharusnya kepada usaha memperkukuh ekonomi serta membantu rakyat yang sedang terkesan dengan kos sara hidup.


"Kita dimaklumkan bahawa negara sedang berdepan tempoh yang kritikal dari sudut ekonomi.


"Dalam keadaan seperti ini, rakyat boleh melihat siapa yang benar-benar bersungguh-sungguh berusaha memulihkan ekonomi negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Johor di Batu Pahat.


Beliau berkata, dalam setiap krisis ekonomi dan politik sentiasa wujud peluang, namun peluang tersebut wajar dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah rakyat dan bukan untuk mengukuhkan kedudukan politik mana-mana pihak.


Ujarnya, situasi semasa memperlihatkan wujudnya perbezaan pendekatan antara pihak yang mengutamakan penyelesaian masalah rakyat dengan pihak yang lebih cenderung kepada kepentingan politik.


"Dalam setiap krisis memang ada peluang tetapi peluang itu sepatutnya digunakan untuk menyelamatkan ekonomi rakyat, bukannya untuk mencatur kedudukan politik," kata Kamil di hadapan kira-kira 5,000 hadirin.


Kamil berkata terdapat pihak berkepentingan mengambil kesempatan daripada keadaan semasa untuk mencetuskan ketidakstabilan politik demi kepentingan sendiri, sedangkan rakyat masih bergelut dengan pelbagai tekanan ekonomi.


Keadaan itu akhirnya memaksa Pakatan Harapan untuk bersiap siaga menghadapi pilihan raya walaupun tumpuan utama sepatutnya diberikan kepada agenda pemulihan ekonomi negara.


"Saya percaya rakyat boleh melihat dengan jelas siapa yang bekerja bersungguh-sungguh untuk memulihkan ekonomi negara dan siapa yang lebih sibuk dengan percaturan politik," ujarnya.


Beliau yakin rakyat Johor mampu membuat penilaian matang berdasarkan prestasi dan pendekatan setiap pihak dalam menangani isu-isu semasa.


Justeru itu, PRN Johor perlu menjadi medan untuk rakyat memilih kepimpinan yang mampu mengutamakan kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan ekonomi negeri serta negara.


"Yang penting ialah kita perlu angkat pemimpin yang bekerja untuk rakyat, bukan untuk parti semata-mata," katanya.


Beliau menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan supaya membawa mesej yang jelas kepada rakyat bahawa keutamaan ketika ini ialah pemulihan ekonomi dan kestabilan politik demi masa depan yang lebih baik.


"Keutamaan kita sekarang ialah mengukuhkan ekonomi negara. Daripada sibuk mencatur kuasa politik, lebih baik kita tumpukan kepada kerja membina kekuatan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page