Rakyat bersatu padu mampu urus kepelbagaian, pacu kemajuan negara
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Zon Timur telah berlangsung dengan jayanya di AEON Mall, Kota Bharu, Kelantan dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan dalam kerangka Malaysia MADANI, perpaduan bukan sekadar elemen sosial malah merupakan teras utama pembinaan negara bangsa yang kukuh dan berdaya tahan.
Menurutnya, konsep negara bangsa tidak boleh ditafsir secara sempit sebagai satu kaum satu budaya, sebaliknya ia terbina daripada kepelbagaian rakyat yang bersatu di bawah satu identiti nasional bersama.
Beliau turut menekankan bahawa nilai perkongsian, rasa kekitaan, integriti serta tanggungjawab terhadap keselamatan dan kestabilan negara merupakan asas penting dalam membentuk identiti nasional.
Perpaduan, katanya, menjadi prasyarat kepada segala bentuk kemajuan negara. Tanpa perpaduan, pembangunan boleh menjadi tidak seimbang, kepercayaan sosial terhakis dan kestabilan negara mudah tergugat.
"Apabila rakyat bersatu padu, kita bukan sahaja mampu mengurus kepelbagaian dengan baik, malah dapat menjadikan perbezaan sebagai kekuatan strategik untuk memacu kemajuan negara," katanya.
Mengulas mengenai dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025, beliau memaklumkan bahawa skor 0.701 yang dicapai berada pada tahap sederhana tinggi, sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan dan rakyat dalam memperkukuh perpaduan berada pada landasan yang tepat.
Walau bagaimanapun, Yunes menegaskan pencapaian tersebut bukan sekadar untuk dibanggakan, tetapi
perlu dijadikan panduan strategik dalam merangka dasar dan program yang lebih berkesan. Lebih membanggakan, Wilayah Timur mencatat antara skor tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 0.741, yang menggambarkan kekuatan nilai komuniti, toleransi serta hubungan sosial yang erat dalam kalangan masyarakat setempat.
Pencapaian negeri seperti Pahang yang merekodkan skor tertinggi di Malaysia turut dijadikan contoh bahawa perpaduan boleh dibina secara nyata melalui tadbir urus yang baik, pembangunan inklusif dan penglibatan komuniti aktif.
Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan wujud cabaran semasa yang perlu ditangani secara strategik. Isu berkaitan etnisiti, media, politik, agama dan jurang sosial masih menjadi faktor utama yang mempengaruhi hubungan antara komuniti.
Tambahan pula, dalam era digital yang pantas penyebaran maklumat tanpa kawalan boleh memberi kesan langsung terhadap persepsi masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan bersifat umum atau program sekali sahaja tidak lagi relevan.
Sebaliknya, kerajaan kini memberi penekanan kepada pendekatan bersasar yang lebih menyeluruh, merentas generasi dan lapisan masyarakat, termasuk melalui pengukuhan ekosistem perpaduan dalam bidang pendidikan, komuniti, agama, belia serta pembangunan sosioekonomi.
Mengulas kejayaan penganjuran SMP Zon Timur, beliau menyifatkannya sebagai langkah penting dalam membina momentum ke arah Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 11hingga 14 Jun 2026.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memainkan peranan sebagai agen perpaduan dalam komuniti masing-masing.
Menurutnya, langkah kecil seperti membina hubungan, memupuk kepercayaan dan menyemai nilai kebersamaan mampu memberi impak besar kepada pembinaan negara bangsa yang harmoni dan sejahtera.
"Perpaduan bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, tetapi satu legasi yang mesti terus diperkukuh untuk generasi akan datang," katanya.




Comments