Rakyat bangkit dalam kesatuan, bina negara unggul - ABIM Selangor
- Redzuan Shamsudin

- Aug 31, 2023
- 1 min read

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor menyeru agar rakyat negara ini menggunakan kesempatan menyambut Hari Kebangsaan hari ini untuk mengeratkan kesatuan dalam kalangan umat serta mengelakkan perpecahan
Menurut kenyataan ABIM Selangor itu, perpaduan perlu bagi membina semula Malaysia yang cuba dipecah belahkan dalam perbalahan politik.
"Di hari kemerdekaan kali ke-66 ini, ABIM Selangor menyeru rakyat Malaysia untuk bangkit dalam sebuah kesatuan, terus maju ke hadapan membina sebuah negara yang unggul.
"Sebuah negara yang selamat dan sejahtera untuk seisi rakyatnya. Sebarang perselisihan mestilah diurus dengan rasional dan dalam suasana yang penuh adab serta harmoni.
"Marilah berusaha mencari titik persamaan dan menjunjung prinsip kebenaran serta keadilan.
"Ayuh bersama kita gembleng tenaga, fikiran, semangat dan usaha membangun bangsa merdeka," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, kesepaduan bangsa sesuai dengan tuntutan Islam dan perkara utama yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika pertama kali berhijrah ke Madinah.
"Dalam konteks negara kita Malaysia, kemerdekaan sepatutnya melahirkan rakyat yang hidup dalam kedamaian, kesantunan dan kesatuan sebagai sebuah bangsa merdeka.
"Bangsa yang rasional pemikiran, matang dan berkebajikan inilah yang akan memadam benih benih kebencian dek perbezaan ras, persepsi negatif, dan prasangka buruk yang tiada asas.
"Model kepelbagaian dalam bingkai kesatuan ini telah pun ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW ketika membina negara Madinah," katanya lagi.
Justeru, ABIM Selangor menegaskan insan yang merdeka, tidak akan dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, cemar dengan amalan keji seperti bercakap buruk, menabur fitnah, menipu, rasuah, salah guna kuasa, menganiaya orang dan perkara munkar yang lain.
Insan yang merdeka, kata ABIM, mengisi hidup mereka dengan nilai nilai kehormatan, berkasih sayang, berbudi pekerti, bersifat ihsan dan berakhlaq mulia.




Comments