Rakyat ambil peluang BUDI95 ganti MyKad rosak cip
- Suara Keadilan

- Sep 26
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Hampir 10,000 kad pengenalan pintar (MyKad) yang rosak cip telah diganti di seluruh negara sejak kerajaan mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95) pada awal minggu ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, jumlah penggantian MyKad itu melonjak dalam tempoh dua minggu berbanding 1,000 permohonan setiap hari sebelum ini.
"Lazimnya, setiap hari sekitar 1,000 penggantian dibuat di seluruh negara.
"Namun angka ini melonjak naik hanya dalam tempoh dua minggu. Alhamdulillah nampaknya rakyat Malaysia mula bersedia untuk menikmati subsidi bersasar BUDI95," kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Saifuddin berkata kerajaan memberikan pengecualian bayaran RM10 bagi penggantian cip rosak bagi tempoh 23 September hingga 7 Oktober ini dengan kos sebanyak RM714,000.
"Kami bangga kerana menjadi agensi yang menyokong kejayaan BUDI95.
"Ini penting bagi memastikan MyKad kekal sebagai dokumen sah untuk membezakan warga dan bukan warga sekali gus membantu menjayakan dasar subsidi bersasar khusus untuk rakyat Malaysia," kata beliau.
BUDI95 menjual petrol bersubsidi menggunakan pengesahan MyKad akan mula beroperasi pada 30 September ini di seluruh negara. Rakyat yang memiliki lesen memandu aktif diberi kuota penggunaan petrol 300 liter sebulan.









Comments