Rakan Siswa Yadim diseru jadi agen perubahan cerdas, berhikmah
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 2 min read

Pimpinan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (RSY) diseru agar menjadi agen perubahan yang cerdas, beradab dan berhikmah, mencontohi para sahabat Nabi SAW yang bukan sahaja berani dan berdedikasi, tetapi juga bertindak dengan strategi dan kebijaksanaan.
Seruan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, sempena Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Madani Rakan Siswa YADIM 2025 di Kuala Lumpur semalam.
"Pimpinan Rakan Siswa YADIM perlu membawa perubahan dengan ilmu, kesantunan dan kebijaksanaan agar setiap langkah yang diambil memberi manfaat dan diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Profesor Madya Dr Zuriati Ahmad Zukarnain, Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Encik Shahrizal Mat, serta para penasihat Rakan Siswa YADIM dari seluruh negara.

Konvensyen yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November itu menghimpunkan lebih 400 pimpinan RSY dari seluruh negara, dengan pelbagai pengisian untuk memperkukuh peranan mahasiswa dalam melestari gerakan dakwah di kampus masing-masing.
Dr Mohd Na’im menambah, RSY perlu terus menjadi ejen dakwah penting dalam menjayakan agenda pembinaan Malaysia Madani, yang berteraskan nilai dan adab mulia.
"Malaysia Madani, sebagai sebuah negara yang bukan hanya diukur pada kemajuan ekonomi atau pencapaian fizikal, tetapi diangkat dengan nilai, dipandu oleh akhlak, dan ditunjangi oleh adab yang luhur oleh masyarakatnya," katanya.
Beliau menjelaskan, Malaysia Madani menekankan pembangunan insan yang seimbang — bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan pencapaian fizikal, tetapi juga melalui keutuhan nilai, akhlak dan adab masyarakat.
Majlis turut menyaksikan RSY Politeknik Ungku Omar, Perak menerima Anugerah Khas atas pencapaian luar biasa dalam pelaksanaan program dakwah, termasuk kejayaan Program Antarabangsa Kemboja, penganjuran multaqa, serta usaha mengaktifkan semula RSY di 36 politeknik seluruh negara, dengan keahlian mencecah 800 orang.
Sementara itu, RSY Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Anugerah Cemerlang bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam, manakala Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak, meraih anugerah yang sama bagi Institusi Pengajian Tinggi Swasta.
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah pula dinobatkan pemenang kategori Institut Pendidikan Guru.
Majlis diakhiri dengan penyampaian watikah pelantikan kepada 22 wakil pimpinan RSY yang hadir, sebagai simbolik penyerahan amanah bagi meneruskan perjuangan dakwah dan kepimpinan mahasiswa di seluruh negara.









Comments