RAKAN saluran rasmi aduan isu keharmonian masyarakat - Yuneswaran
- Akmal Manaf

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan mempergiat usaha memperkukuh perpaduan nasional apabila memperkenalkan aplikasi Sistem Rangkaian Aduan Komuniti Awam Nasional (Sistem RAKAN) sebagai saluran rasmi baharu bagi orang ramai menyalurkan aduan berkaitan isu keharmonian masyarakat dengan lebih cepat dan berkesan.
Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran (gambar) berkata inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi berbanding sekadar meluahkan pandangan di media sosial.
Katanya, langkah itu sekali gus dilihat membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih pantas terhadap sebarang isu yang berpotensi menggugat perpaduan.
"Kalau di kawasan anda ada berlaku satu isu yang menggugat keharmonian berkaitan dengan perpaduan, anda boleh terus lapor dalam aplikasi RAKAN untuk kita mengambil tindakan selanjutnya dengan kadar segera.
"Masalahnya ramai yang suka membuat komen-komen di media sosial, tapi kalau niat kita adalah untuk mencari penyelesaian, maka kita perlu menyampaikan maklumat melalui saluran rasmi contohnya seperti RAKAN.
"Saya mohon tuan-tuan, puan-puan dan rakan-rakan yang berada di luar sana kalau anda melihat ada isu berlaku di kawasan anda (sama ada) di kampung, taman atau sekeliling anda yang berkaitan dengan keharmonian, perpaduan dan juga ketegangan masyarakat anda boleh terus lapor dalam RAKAN untuk kita mengambil tindakan," katanya dalam satu siaran video.
Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat menegaskan, keharmonian masyarakat merupakan isu sensitif maka ia perlu ditangani dengan baik pada kadar segera.
RAKAN boleh diakses melalui URL berikut https://rakan.jpnin.gov.my/




Comments