Rakan komponen Perpaduan jangan serang KEADILAN isu Rafizi - Fakharuddin
- Suara Keadilan

- May 30
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyentuh Pemilihan KEADILAN dan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli terus mendapat reaksi balas.
Bagi Ketua Cabang KEADILAN Tenggara, Fakharuddin Moslim (gambar), pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya Puad sendiri sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan, bukan mengeruhkan keadaan dengan kenyataan yang mencetuskan ketegangan sesama rakan gabungan.
Beliau menegaskan, Pemilihan KEADILAN adalah urusan dalaman parti itu dan tiada kaitan langsung dengan UMNO atau mana-mana komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan.
"Kita perlu saling menghormati antara rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan mengelakkan kenyataan yang bersifat menyerang peribadi yang boleh menjejaskan kestabilan gabungan.
"Kenyataan seperti itu hanya akan membuka ruang kepada pihak lawan untuk memecah-belahkan kesatuan yang dibina bersama demi kestabilan negara.
"Sikap Dr Puad yang sering mengulas dan menyerang Rafizi Ramli menunjukkan seolah-olah beliau masih belum 'move on' dan masih obses mahu menjadi 'Menteri Hal Ehwal Rafizi'", katanya menerusi satu kenyataan.
Pada 28 Mei lalu, Puad dalam satu muat naik di Facebooknya berkata, tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi menyelamatkannya daripada menjadi mangsa kerat 2.0 dalam parti tersebut.
Antaranya Puad mendakwa, reputasi pemilihan KEADILAN 2025 ‘dikoyak-rabak' oleh Rafizi yang juga mantan timbalan presiden parti.









Comments