Raja Jordan mulakan lawatan negara ke Malaysia, kukuh hubungan dua hala KL-Amman


Raja Jordan, Raja Abdullah II ibn Al Hussein memulakan lawatan negara selama dua hari ke Malaysia bermula semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1965.
Ketibaan baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.
Lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008 itu berlangsung ketika kedua-dua negara terus memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, perdagangan dan penyelidikan saintifik selain berkongsi komitmen terhadap keamanan dan kestabilan di Asia Barat.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Raja Abdullah II dijadual menghadiri istiadat sambutan negara di Istana Negara diikuti majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Jamuan Negara.
Baginda turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baginda diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Ayman Safadi serta pegawai kanan Istana Diraja Hasyimiyah dan kerajaan Jordan.

Hubungan pendidikan kekal menjadi antara tonggak utama kerjasama kedua-dua negara, dengan seramai 1,636 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan manakala 1,490 pelajar Jordan menuntut di Malaysia.
Kedua-dua negara terus menggalakkan kerjasama pendidikan, kolaborasi akademik dan perkongsian kepakaran, termasuk dalam bidang pendidikan tinggi serta penyelidikan saintifik.
Dalam bidang perdagangan, nilai dagangan dua hala Malaysia-Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat 15.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Perdagangan kedua-dua negara turut berkembang 8.0 peratus kepada RM740.7 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Malaysia dan Jordan turut berkongsi komitmen untuk memelihara keamanan dan keadilan di Asia Barat, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak sah rakyat Palestin," ujar Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar.




Comments