Barisan senator dari gabungan Pakatan Harapan (PH) membantah pencalonan Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai Presiden Dewan Negara.
Dalam satu kenyataan, mereka berpandangan bahawa jawatan itu perlu diisi oleh seseorang individu yang mempunyai kewibawaan dan mampu bersikap adil kepada semua ahli Dewan Negara.
"Dewan Negara adalah fitrahnya sebuah dewan yang harmoni dan kurang berbalah.
"Justeru, ia memerlukan seorang presiden yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya," menurut kenyataan itu.
Kenyataan juga menggesa kerajaan supaya mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan semua ahli dewan sebelum melantik presiden.
"Kami berpendapat bahawa Tan Sri Rais Yatim bukanlah individu yang sesuai untuk memegang peranan tersebut
"Kami menyeru pihak kerajaan untuk berunding dengan semua parti politik yang diwakili dalam Dewan Negara berkenaan kedudukan presiden seterusnya agar dapat melantik seorang presiden yang boleh diterima semua pihak," katanya.
Kenyataan itu diwakili oleh Senator Yusmadi Yusoff (KEADILAN), Senator Aiman Athirah Al Jundi (AMANAH), Senator Datuk Wira Marzuki Yahya (PEJUANG), Senator Liew Chin Tong (DAP), Senator Datuk Theodore Douglas Lind (WARISAN) dan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO).
Comments