Rais Yatim didakwa di mahkamah, mana formula BN selesai isu N Sembilan?


Krisis Istana Negeri Sembilan memasuki babak baharu apabila Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan), Tan Sri Rais Yatim didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka semalam atas pertuduhan menghasut berkaitan kemelut institusi diraja negeri itu.
Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Zulqarnain Lukman (gambar) berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan krisis yang sebelum ini berlegar dalam polemik politik dan Perlembagaan kini sudah dibawa ke proses mahkamah.
Rais, 84, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.
Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober.
Menurut Zulqarnain, perkembangan itu juga menjawab dakwaan bahawa tindakan pihak Persekutuan dalam isu berkenaan merupakan campur tangan terhadap urusan Negeri Sembilan.
"Jika Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa TS Rais Yatim maka itu dikatakan masuk campur, maknanya kamu tidak faham Perlembagaan," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau berkata soal ketenteraman awam merupakan bidang kuasa Persekutuan dan tindakan pihak berkuasa dalam mengawal keadaan adalah berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan undang-undang.
"Perlembagaan sudah tetapkan yang mana bidang kuasa Persekutuan dan yang mana bidang kuasa Negeri. Hal ketenteraman awam ini di bawah kuasa Persekutuan," katanya.
Zulqarnain turut mempersoalkan tindakan BN yang sebelum ini dikatakan mempunyai "formula" bagi menyelesaikan krisis Istana Negeri Sembilan khususnya selepas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan pernah menyatakan perkara itu ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya perkembangan terbaharu termasuk pendakwaan terhadap Rais menjadikan persoalan mengenai formula berkenaan semakin relevan.
"Kita masih menunggu-nunggu formula keramat ADUN Rantau, Tok Mat Hasan yang dilaporkan berkata bahawa BN mempunyai formula untuk menyelesaikan krisis istana," katanya.
Beliau mendakwa Mohamad kini lebih banyak berdiam diri sedangkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN, selain pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, menjadikan beliau antara tokoh yang sepatutnya tampil menjelaskan penyelesaian terhadap kemelut itu.
"Sepatutnya beliau yang paling afdal mengemukakan formula untuk penyelesaian krisis Istana Negeri Sembilan kerana beliau adalah bekas MB Negeri Sembilan dan Menteri kanan dalam kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Zulqarnain turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, termasuk dakwaan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim, menandatangani proklamasi berkaitan perkara itu sehari selepas mengangkat sumpah jawatan.
Beliau mendakwa proklamasi berkenaan ditandatangani pada 3 Ogos, sehari selepas Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos.
Zulqarnain kemudian membandingkan tindakan itu dengan pengalaman bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menurutnya memulakan tugas sebagai Menteri Besar dengan mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat di pejabat.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar tidak dinyatakan dalam manifesto BN ketika PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, manifesto BN ketika pilihan raya negeri itu menggunakan slogan "Hebatkan Semula Negeri Sembilan" dengan tema "Stabil, Maju, Makmur" selain menawarkan 88 usaha, sembilan teras, 15 inisiatif dan satu unit pemantau manifesto.
"Jika agenda menurunkan Yang Dipertuan Besar ini menjadi agenda penting, ia perlu menjadi manifesto nombor satu," katanya.
Zulqarnain mendakwa perkembangan politik selepas BN membentuk Kerajaan Negeri bertentangan dengan gambaran kestabilan yang dijanjikan dalam manifesto, dengan kemelut institusi diraja dan kerajaan negeri terus menjadi perhatian.
Beliau turut mengkritik PN dan Pas berhubung manifesto mereka pada PRN Negeri Sembilan yang bertemakan "PN Sepakat Hebatkan Negeri Sembilan".
Katanya, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika melancarkan manifesto itu sebelum ini menawarkan komitmen untuk membina Negeri Sembilan yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
Zulqarnain berkata perkembangan semasa di Negeri Sembilan perlu menjadi peringatan kepada pengundi Melaka supaya menilai tawaran politik berdasarkan prestasi dan dasar, bukannya semata-mata naratif penyatuan.
"Janganlah pengundi Melaka terlalu terpesona dengan slogan penyatuan ummah. Slogan ini hanya untuk raih simpati rakyat sahaja sebab mereka tahu rakyat mudah kena tipu dengan naratif emosi dan semangat," katanya.
Beliau menyeru pengundi supaya membuat pertimbangan berdasarkan prestasi pentadbiran.
"Pilihlah politik prestasi, tinggalkan politik emosi!" katanya.




Comments