top of page

Rain Rave Water Music Festival beri kesan negatif, tidak wajar diteruskan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 22
  • 2 min read
Anwar Pawan Chik (kiri) mahu Rain Rave Water Music Festival dipertimbangkan semula penganjurannya
Anwar Pawan Chik (kiri) mahu Rain Rave Water Music Festival dipertimbangkan semula penganjurannya

Pihak berkuasa digesa agar tidak meluluskan penganjuran program Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dirancang diadakan di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur atas kebimbangan terhadap beberapa faktor.


Ketua Cabang KEADILAN Bukit Bintang, Anwar Pawan Chik berkata, penganjuran festival berkonsepkan hiburan bebas adalah tidak sesuai dengan norma, nilai serta budaya masyarakat Malaysia yang berteraskan kesopanan, keharmonian dan sensitiviti pelbagai kaum serta agama.


Tegas beliau, program berkenaan bukan sahaja berpotensi mencetuskan suasana yang tidak terkawal, malah boleh memberi kesan negatif terhadap akhlak, imej bandar raya dan kesejahteraan komuniti setempat.


"Lebih membimbangkan, tempoh penganjuran yang melibatkan penutupan jalan dan aktiviti selama 11 hari adalah satu tempoh yang keterlaluan dan tidak munasabah, serta menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap kehidupan harian masyarakat bandar.


"Tempoh yang panjang ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pengguna jalan raya dan peniaga, malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam secara berpanjangan.


"Dalam masa sama, penganjuran acara hiburan berskala besar dan berlarutan sehingga lewat malam ini juga dilihat tidak mengambil kira sensitiviti agama Islam sebagai agama Persekutuan, khususnya dari sudut pemeliharaan akhlak, batas pergaulan serta suasana sosial yang wajar dijaga di ruang awam," katanya menerusi satu kenyataan.


Tambah Anwar lagi, pelaksanaan acara tersebut yang melibatkan penutupan jalan utama akan memberi impak besar kepada kehidupan harian rakyat, termasuk gangguan serius kepada aliran trafik di kawasan tumpuan utama.


"Selain itu ia turut menjejaskan aktiviti ekonomi peniaga tempatan khususnya usahawan kecil di samping risiko terhadap keselamatan awam dan ketenteraman penduduk.


"Juga peningkatan pencemaran bunyi serta gangguan sosial, terutama pada waktu malam. Justeru kami mendesak pihak berkuasa agar tidak meluluskan penganjuran program seumpama ini di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur dan Bukit Bintang.


"Kami berharap pihak berkuasa akan mengambil pendirian yang tegas dalam perkara ini demi menjaga keharmonian serta kesejahteraan rakyat," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page