top of page

Rafizi, Wong Cheng diugut video lucah palsu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 13
  • 2 min read

ree

Setelah anaknya diserang dan isterinya diugut, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli (gambar) hari ini mendedahkan bahawa beliau telah menerima ugutan penyebaran video lucah palsu yang didakwanya direka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Rafizi berkata, ugutan itu diemel kepadanya dengan satu keratan video lucah bersama seorang lelaki.


"Semalam saya dapat satu email mengenai dakwaan video lucah saya dengan seorang lelaki. Video lucah datang lagi. Sekarang zaman AI, senang nak buat video dan gambar," katanya.


Menurut Rafizi, pengugut tersebut menuntut bayaran AS$100,000 dan akan menyebarkan video berkenaan sekiranya tidak dilunaskan.


Malah, Rafizi turut berkongsi bahawa Ahli Parlimen Subang, Wong Chen juga menerima ugutan sama dengan individu serta video yang didakwa serupa.


"Yang lawaknya, setengah jam kemudian saya dapat mesej dari YB Wong Chen, Ahli Parlimen Subang. Dia beritahu dia kena ugut ada satu video lucah dengan lelaki juga.


"Kami sama-sama kongsi screen shot. Rupanya kami dituduh tidur dengan lelaki yang sama," ujarnya.


Rafizi percaya ugutan tersebut hanyalah helah untuk menggodam peranti elektroniknya dan mengaitkannya dengan serangan siber berprofil tinggi.


"Sebab saya rasa tujuan sebenar ialah untuk menggodam peranti elektronik saya dan kemudian fitnah lebih besar boleh dibuat," katanya.


Beliau menjelaskan bahawa dalam tempoh sembilan bulan lalu, kerana beliau menggunakan telefon jenama Apple maka telah menerima empat amaran keselamatan daripada sistem keselamatan syarikat berkenaan, iaitu pada 14 November 2024, 6 Mac 2025, 25 Jun 2025 dan 3 September 2025.


"Serangan siber ini dari ‘mercenary spyware’. Apple memberi contoh serangan siber yang sofistikated seperti perisian Pegasus dari firma perang siber Israel, NSO Group," jelasnya.


Sehubungan itu, Rafizi mengingatkan orang ramai agar berhati-hati sekiranya menerima sebarang video, gambar atau email pelik berkaitan dirinya.


"Kalau dapat video atau gambar pelik mengenai saya, atau dapat emel pelik, semaklah dahulu," pesannya.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page