Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan dakwaan pemimpin Bersatu, Mohammad Azmin Ali kononnya kerajaan tidak mendengar keluhan rakyat mengenai isu kos sara hidup yang semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke 15.
Rafizi menegaskan sebarang kenyataan oleh pemimpin pembangkang itu tidak boleh dijadikan ukuran dalam menilai prestasi Kerajaan Perpaduan ketika ini.
"Semasa beliau (Azmin) menjadi Menteri dulu dengan kesusahan rakyat, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan sebagainya. Dia bukan sahaja tak dengar keluhan rakyat, komen dekat sosial media pun dia tutup, tak boleh komen.
"Azmin Ali nak timbulkan isu konon kerajaan tak dengar keluhan rakyat, (tetapi) saya rasa kita terus mengikuti dengan dekat (isu rakyat)," katanya.
Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas sambutan rumah terbuka Parlimen Pandan semalam.
Mengulas lanjut isu kos sara hidup rakyat, Rafizi berkata, beliau mengikuti dengan rapat sentimen rakyat mengenai ekonomi sejak 2016 dan setiap bulan beliau mengukur pandangan mereka kepada kedudukan ekonomi akan datang.
"Ketika ini pandangan rakyat dilihat bertambah positif terhadap kerajaan berbanding pentadbiran terdahulu.
"Sebelum PRU15, hanya 30% berpandangan positif terhadap ekonomi negara tetapi yang kini mencecah 41%. Ada peningkatan," katanya lagi.
Comments