
Malaysia perlu melahirkan golongan petani moden profesional berdaya saing untuk mengusahakan fasiliti pertanian moden.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan telah menyediakan peluang untuk dimanfaatkan golongan itu menerusi Projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Justeru beliau yakin dengan inisiatif kerajaan itu golongan tersebut dapat dilahirkan di kalangan peserta berdaftar dalam Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) termasuk juga kalangan siswazah.
"Kepada siswazah dan peserta lain, ini adalah tanggungjawab anda untuk mengusahakan fasiliti pertanian moden kerana kerajaan telah ambil risiko keluarkan peruntukan yang besar untuk pastikan pertanian moden berlaku di seluruh negara.
"Saya harap kerja-kerja (pembangunan fasiliti) akan dimulakan dan selepas itu kita akan pastikan IPR akan memberi kesan kepada negara," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya berucap merasmikan Pusat Program IPR-INTAN Usahawan Tani di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai Pusat IPR-INTAN Usahawan Tani UPM itu Rafizi menjelaskan, ia akan menjadi platform kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi dan UPM.
Melalui kerjasama itu, UPM akan memberi latihan teori dan praktikal untuk melahirkan usahawan tani profesional serta mendedahkan mereka kepada kitaran tanaman supaya mampu bertahan dalam bidang pertanian.
Di pihak kementeriannya Rafizi berkata, program IPR bukan sekadar program bagi meningkatkan pendapatan peserta malah akan mengenal pasti faktor, cabaran serta risiko untuk dielakkan.
"Melalui IPR, kita juga akan lihat modul perniagaan, cabaran cuaca atau gangguan serangga sebab kita tak nak ulangi kegagalan sebelum ini," katanya
Kerajaan menyasarkan peserta program itu akan meraih pendapatan antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan, seterusnya menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.
Rafizi sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak 1,000 ekar pertama tanah telah dikenal pasti untuk diusahakan peserta IPR.