top of page

KEADILAN Kota Raja kukuhkan akar umbi, tubuh 25 ranting baharu

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
May 26
2 min read
KEADILAN Cabang Kota Raja antara paling banyak ahli di Selangor dan terdiri dari berbilang kaum
KEADILAN Cabang Kota Raja antara paling banyak ahli di Selangor dan terdiri dari berbilang kaum

KEADILAN Cabang Kota Raja, Selangor membuktikan perjuangan reformasi masih mendapat sambutan ramai dengan mengukuhkan kedudukannya di peringkat akar umbi apabila berjaya menubuhkan 25 ranting baharu serta merekodkan kemasukan lebih 3,000 ahli baharu.


Pencapaian ini dilihat sebagai satu perkembangan signifikan yang mencerminkan peningkatan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan parti itu, khususnya di kawasan Klang.


Menurut kenyataan KEADILAN Kota Raja, momentum pertumbuhan tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi gambaran jelas bahawa sokongan masyarakat terhadap parti itu semakin meluas dan kukuh.


"Momentum pertumbuhan ini bukan sekadar angka. Ia adalah cerminan semangat rakyat yang semakin yakin bahawa KEADILAN Kota Raja berdiri bersama mereka di lapangan, di kawasan, dan di hati masyarakat," kata kenyataan itu.


Kejayaan tersebut juga disumbangkan oleh komitmen tinggi jentera parti di semua peringkat, selain kerjasama erat dalam menggerakkan pelbagai program yang menyantuni masyarakat setempat.


Sementara itu, Ketua Cabang Kota Raja merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Gunaraj George baru baru ini berkata, pengukuhan organisasi dan pendekatan turun padang merupakan tanggungjawab utama parti kepada rakyat.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas ceramah kelompok di Bandar Sentosa yang dihadiri lebih 500 penduduk setempat.


"Pengukuhan organisasi, penglibatan rakyat dan pendekatan turun padang yang berterusan bukan pilihan — ia adalah kewajipan kita kepada rakyat. Selagi rakyat bersama kita, selagi itulah kita akan terus berjuang. Lebih ramai anggota, lebih kuat perjuangan," katanya.


Justeru itu, KEADILAN Kota Raja menegaskan komitmennya untuk meneruskan usaha memperluas jaringan akar umbi secara konsisten, di samping menarik lebih ramai penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.


Menurut kenyataan itu lagi, program-program seumpama ini bukan sahaja menghidupkan suasana politik yang aktif dan positif, malah menjadi nadi kepada kekuatan organisasi parti yang perlu terus diperkasakan dari semasa ke semasa.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page