Keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) malam tadi menobatkan mantan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden KEADILAN yang baharu.
Meskipun keputusan tersebut tidak rasmi dan Undi Ragu akan disahkan oleh JPP untuk ditambah kepada undi keseluruhan calon, namun Rafizi telah memperolehi 68,992 undi meninggalkan pencabarnya Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memperolehi 50,038 undi.
Jawatan Naib Presiden KEADILAN pula dimenangi oleh Datuk Seri Amirudin Shari yang mendapat 52,845 undi, Chang Lih Kang (41,209 undi), Nik Nazmi Nik Ahmad (40,506 undi) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (38,894 undi).
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) pula, Adam Adli Abd Halim menang dengan 13,650 undi. Timbalan beliau, Muhammad Kamil Abd Munim mendapat 12,943 undi, menang tipis ke atas Chua Wei Kiat (sebelum Undi Ragu dikira).
Manakala Naib Ketua AMK ialah Atyrah Hanim Razali (12,848 undi), Muhammad Izuan Ahmad Kasim (12,321 undi) dan Prasanth Kumar Brakasam (12,222 undi)
Jawatan Ketua Wanita KEADILAN Rodziah Ismail menang tipis ke atas Fadhlina Sidek dengan 21,962 undi (sebelum Undi Ragu dikira). Timbalan Ketua Wanita Juwairiya Zulkifli (17,743 undi) dan Naib Ketua Wanita ialah Wasanthee Sinnasamy (17,343 undi), June Leow Hsiad Hui (15,505 undi) dan Sangetha Jayakumar (15,396 undi).
Pemilihan kali ini menyaksikan arah sokongan yang pelbagai, bebas dan tidak terlalu mengikut cai. Terutama dalam penentuan jawatan wanita KEADILAN dan AMK.
Banyak pihak mengharapkan KEADILAN kembali mantap dengan pelantikan pimpinan baharu dan membawa strategi baharu menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.
Commentaires