Mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengumumkan kembali ke arena politik dan akan bertanding posisi Timbalan Presiden KEADILAN selepas lebih 3 tahun bercuti.
Pengumuman tersebut dikatakan dibuat selepas menimbangkan situasi getir Pakatan Harapan (PH) dan KEADILAN yang mengalami kemerosotan populariti dan kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru baru ini.
"Keputusan PRN Johor mengesahkan KEADILAN dan Pakatan Harapan telah menjadi parti ketiga selepas BN dan Perikatan Nasional (PN).
"Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri PRN. Setiap kali KEADILAN dan PH mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, (malangnya) sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu, Rafizi turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan strategi terbaharu yang sedang dibincangkan dalam kalangan pimpinan PH yang didakwanya ingin mengadakan kerjasama bersama PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Tegas Rafizi, KEADILAN dan PH menang alam PRU14 lalu kerana isu-isu yang dekat dengan rakyat. Di samping rakyat juga terkesan dengan skandal pentadbiran Najib Razak, dan tertarik dengan beberapa penyelesaian yang ditawarkan untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi.
Malangnya, kata beliau, selepas menjadi kerajaan PH tidak segera melaksanakan janji dan lebih terikat dengan gaya pentadbiran mantan pimpinan Umno dalam PH.
"Rentetan peristiwa yang berlaku selepas PRU14 meyakinkan sebahagian rakyat, terutamanya pengundi Atas Pagar bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka.
"Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah.
"Sebab itu Umno BN boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018. Dalam keadaan sebahagian besar pengundi Atas Pagar merasakan KEADILAN dan PH sudah tidak ada beza dengan Umno BN atau PN yang sebahagian besar dari mereka mengalami kelesuan politik," katanya.
Tidak terkecuali, kata mantan Setiausaha Agung KEADILAN itu, taktik mencatur gabungan politik juga menyebabkan rakyat bosan dengan politik dan turut memberi imej negatif kepada pimpinan KEADILAN.
Oleh yang demikian, katanya, setelah didesak oleh rakyat dan para penyokongnya untuk kembali, beliau membuat keputusan untuk bergiat semula dalam politik dengan langkah pertamanya mencalonkan diri merebut jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan yang akan diadakan beberapa bulan akan datang.
"Saya terus mendapat desakan dari pendukung KEADILAN dan PH untuk kembali ke gelanggang politik.
"Pada pandangan saya dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika KEADILAN dan PH terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi Atas Pagar.
"Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan akan datang," katanya lagi.
Tambah rafizi, jika KEADILAN dan PH ingin menambat kembali hati rakyat maka mereka perlu berjuang habis-habisan memudahkan kehidupan harian rakyat. Membawa penyelesaian-penyelesaian yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika memilih KEADILAN dan PH
Comentarios