Rafizi Ramli bebas sepenuhnya daripada tuduhan dedah audit 1MDB


Mohd Rafizi Ramli akhirnya bebas sepenuhnya daripada kesalahan mendedahkan kandungan Laporan Pengauditan 1MDB.


Naib Presiden KEADILAN itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 oleh Mahkamah Rayuan pada 2018, dan tempoh itu baru sahaja berakhir semalam.


Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


"Alhamdulillah..teruskan perjuangan," katanya dengan ringkas di akaun Facebook.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menganggap tindakan Rafizi mendedahkan salah laku dana 1MDB sebagai tindakan terpuji dalam menegakkan keadilan.


"Saya merupakan penjamin saudara Rafizi buat sekian kalinya dan saya tidak pernah merasa sangsi terhadap kesungguhan beliau menegakkan kebenaran.


"Kita seharusnya mengambil ikhtibar terhadap derita dan keperitan beliau melawan rasuah dan salah guna kuasa. Walaupun betapa kebalnya mereka yang berkuasa sebelum ini, akhirnya runtuh juga penyelewangannya.


"Biarlah kita semua terus berpegang dengan prinsip dan berani berkata benar walaupun dalam keadaan yang amat sengsara. Moga Allah rahmati Rafizi, keluarga dan semua pemberi-pemberi maklumat di luar sana," katanya menerusi akaun rasminya di Facebook.


Pada 14 November 2016, Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan, mengenakan hukuman penjara 18 bulan terhadap dua pertuduhan.


Bagi pertuduhan pertama, Rafizi didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang menjadi kesalahan di bawah OSA.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada jam 3 petang 24 Mac lalu mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) OSAdan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama, 28 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.


Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan bagi pertuduhan pertama dan melepaskan serta membebaskan Rafizi daripada pertuduhan kedua.


Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengenepikan hukuman penjara, sebaliknya Rafizi dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000.


Kes tersebut juga menghalang Rafizi daripada mempertahankan kerusinya di Parlimen Pandan, yang akhirnya dimenangi oleh Wan Azizah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Beliau kemudian membuat keputusan mengejut apabila menarik diri daripada dunia politik pada tahun hujung tahun lepas.


Rafizi pernah menyatakan beliau hanya mahu hidup sebagai orang biasa dan tidak berminat untuk memegang sebarang jawatan politik ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa dalam kerajaan persekutuan.


Namun selepas PH dijatuhkan oleh gerakan pengkhianat sehingga tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional yang tidak pernah mendapat mandat rakyat, tidak mustahil Rafizi akan kembali aktif dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio