Rafizi pertahan jawatan Timbalan Presiden KEADILAN
- Suara Keadilan
- May 7
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan jawatannya dalam pilihan parti tahun ini selain mengalu-alukan calon-calon lain untuk turut bertanding.
Beliau dalam kenyataan berkata pihaknya menerima baik berita-berita bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah Anwar menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
"Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.
"Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.
"Ia keputusan yang menang-menang bagi saya," katanya.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata segala keputusan yang diambil perwakilan parti akan membuka ruang kepada beliau untuk menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
"Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.
"Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah," katanya.
Terdahulu Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengakui dalam perbincangan dengan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini, beliau ada menyuarakan hasrat untuk memberikan laluan kepada bekas Setiausaha Agung parti itu untuk menduduki jawatan timbalan presiden.
"[Ini]...agar saya boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU-16 tanpa perlu terikat kepada peraturan Kabinet dan kerajaan," ujarnya.
Dalam pada itu, Rafizi mengalu-alukan pandangan yang diberikan aktivis dan pimpinan KEADILAN di semua peringkat sepanjang minggu lalu dan mahu mereka menerima hakikat bahawa beberapa kontroversi yang timbul akibat pemilihan kali ini sedang diperhatikan rakyat.
Jelas beliau sebarang isu berbangkit sama ada mengenai sistem, aduan atau perkara-perkara lain perlu ditangani secara berhemah kerana tingkah laku anggota parti sepanjang proses itu dinilai oleh rakyat.
"Saya juga bersyukur kerana pengalaman 26 tahun dalam parti ini mendidik saya bahawa sesuatu jawatan itu adalah amanah yang berat, apatah lagi jawatan sebagai menteri.
"Maka, keputusan-keputusan kita mestilah dipandu oleh kebertanggungjawaban, bukannya berkait dengan pangkat dan kedudukan," katanya lagi.
Comments