Pelbagai pihak mengharapkan tokoh yang cemerlang mewarnai kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu kembali aktif membantu KEADILAN menjelang PRU 15.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Muhammad Arafat Varisai Mahamad, ketokohan Rafizi dan Nurul tidak boleh dipertikaikan serta mempunyai daya tarik tersendiri yang mampu meyakinkan rakyat mengundi Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka kembali aktif berpolitik.
"Dua tokoh ini ada kelebihan, bersih dan berwibawa. Kita perlukan tokoh-tokoh ini untuk kembali aktif dalam KEADILAN.
"Inilah masa untuk kita mengembeling kekuatan untuk lawan 'kerajaan pintu belakang' ini. Kita nak kembalikan kerajaan mandat rakyat, itu amat penting," katanya dipetik Astro Awani.
Manakala Exco Wanita KEADILAN Malaysia, Monaliza Mokhtar pula berkata kedua-dua ahli politik itu dilihat rakyat berkaliber dan penuh prinsip serta boleh melupakan 'parut' tragedi pengkhianatan oleh pemimpin-pemimpin yang telah melompat menyertai Perikatan Nasional (PN).
"Kemenangan PH (PRU 14 lalu) kalau kita lihat kerana ketajaman (kempen) Rafizi dan Nurul Izzah yang memang terkenal sebagai Puteri Reformasi yang dididik baik oleh Kak Wan (Dr Wan Azizah) sebagai Ibu Reformasi dan Datuk Seri Anwar adalah Bapa Reformasi, yang ingin membuat reform di dalam negara kita.
"Rafizi juga adalah anak didik Datuk Seri Anwar yang penuh dengan prinsip dan berkaliber, juga sebagai pemimpin yang ada pengikut dan menerima corak perjuangan yang begitu ikhlas," katanya.
Baru-baru ini tular kenyataan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, usaha sedang dilakukan untuk memujuk Rafizi dan Nurul agar kembali aktif memimpin KEADILAN menjelang PRU 15.
Pendapat itu disokong para netizen yang muak dengan politik toksid PN yang cuba melemahkan KEADILAN dengan membawa keluar satu demi satu Ahli Parlimen parti itu.
Comments