Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mahu dapatan daripada sesi libat urus dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Aspirasi Simposium dimanfaatkan.
Jelasnya, dapatan berkenaan boleh digunakan bagi merangka pelan jangka masa pendek dan panjang bagi penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB) yang akan berlangsung selama lima hari bermula 29 Feb ini.
"Saya dimaklumkan program TERAJU Aspirasi Simposium ini adalah yang pertama kali dianjurkan oleh TERAJU dan bakal dilaksanakan secara tahunan.
"Saya merasakan ia suatu langkah yang baik dan perlu diteruskan kerana ia adalah ruang yang sangat baik untuk membincangkan kajian-kajian yang telah dijalankan dan memperoleh resolusi yang diperlukan untuk masa depan," katanya dipetik pada majlis perasmian TERAJU Aspirasi Simposium itu Putrajaya semalam.
Teks ucapan Rafizi dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron.
Simposium sehari bertemakan Bumiputera: Aspirasi dan Harapan Hari Depan yang dianjurkan oleh TERAJU itu menampilkan beberapa ahli panel bagi membincangkan pelbagai isu serta cabaran yang dihadapi golongan bumiputera, antaranya Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sabah Prof Datuk Dr Ramzah Dambul.
Mengulas mengenai kongres itu, Rafizi berkata ia merupakan agenda nasional untuk menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama serta inklusif.
KEB katanya akan melakar sejarah menjadi platform tertinggi perbincangan agenda pemerkasaan bumiputera untuk mencapai matlamat masa kini dan masa depan.
"Justeru semua pemegang taruh bumiputera termasuk usahawan untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam menghasilkan suatu dasar baharu yang berimpak tinggi demi anak bangsa," tambahnya.
Comments