Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi
- Suara Keadilan
- May 28
- 1 min read

Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa pada 17 Jun 2025.
Menerusi satu kenyataan beliau berkata peletakan jawatan itu dibuat berdasarkan prinsip kekalahan dalam mempertakankan jawatan Timbalan Presiden KEADILAN pada Pemilihan 2025 lalu tidak memberikan mandat kepada beliau untuk terus berada pada posisinya.
"Saya telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada YAB Perdana Menteri. Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
"Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan," katanya.
Selain itu, Rafizi berkeyakinan program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi yang dipimpin beliau selama lebih dua tahun akan terus dilaksanakan dengan jayanya oleh penjawat-penjawat awam.
Begitu juga Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu giliran untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat seterusnya.
Rafizi berharap agar Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13 walaupun beliau tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri.
Comentarios