top of page

Rafizi jelaskan mengapa bercuti, enggan campur aduk urusan parti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Mohd Foad


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan beliau mengambil cuti daripada tugas rasmi selama beberapa hari kerana mahu memberikan tumpuan bagi menguruskan sepenuh masa terhadap beberapa isu berbangkit mengenai pemilihan parti.


Beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, isu berbangkit semasa pemilihan sewajarnya diuruskan dengan baik untuk menjaga keharmonian parti di setiap peringkat tanpa mengira pihak yang membuat bantahan.


"Menyedari bahawa aduan-aduan dan isu yang timbul perlu diuruskan dengan harmoni, sebagai Timbalan Presiden, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan menguruskan perkara ini sepenuh masa, termasuk berjumpa dan mendengar sendiri isu yang dibangkitkan oleh pelbagai calon yang bertanding, tanpa mengira kumpulan.


"Masa yang diperlukan adalah panjang. Sewajarnya, kerja-kerja mengurus parti yang memerlukan masa khusus seperti ini tidak dicampuradukkan dengan tugas dan masa sebagai seorang menteri," katanya dalam kenyataan.


Rafizi berkata, bagi beliau mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri adalah satu budaya politik baru yang wajar disemai.


"Oleh itu, saya telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk bercuti dari tugas rasmi untuk memberi tumpuan meredakan keadaan di peringkat akar umbi," ujarnya.


Sepanjang bercuti dari 29 April ke 5 Mei lalu, Rafizi berkata beliau telah mengadakan pelbagai pertemuan dan membawa isu-isu berbangkit mengenai pemilihan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP).


Selain itu beliau berkata sepanjang tempoh bercuti juga beliau mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


"Perbincangan dengan Datuk Seri Anwar berlaku dua kali dan sekali dengan Datuk Seri Saifuddin," ujarnya.


Dalam pertemuan dengan Anwar yang juga Presiden KEADILAN, kata Rafizi, beliau mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat.


Malah beliau turut menyatakan kesediaannya untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.


"Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (𝘥𝘦𝘧𝘦𝘯𝘴𝘪𝘷𝘦), dan tidak menyerang (𝘰𝘧𝘧𝘦𝘯𝘴𝘪𝘷𝘦) seperti rentak KEADILAN semasa menjadi pembangkang.


"Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU-16," jelas Rafizi.


Beliau menjelaskan kedudukan sebagai seorang menteri menyebabkan beliau terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan sukar untuk bersuara dengan lebih bebas seperti sebelum ini.


"Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen KEADILAN yang dilihat tidak agresif.


"Saya juga menyuarakan perkara yang sama kepada Datuk Seri Saifuddin dan menyatakan kesediaan saya untuk memberi laluan, agar saya boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU-16 tanpa perlu terikat kepada peraturan Kabinet dan kerajaan," katanya.


Bagaimanapun kata Rafizi, kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk beliau kekal bertanding timbalan presiden dan menjadi sebahagian daripada Kabinet.


"Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir," ujarnya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page