top of page

Rafizi jalani pembedahan tulang belakang, kembali bertugas bulan hadapan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 19, 2024
  • 2 min read

ree

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang akan melakukan rawatan di hospital bagi tempoh dua minggu lagi sebelum dijangka kembali bertugas bulan hadapan.


Ketika berkongsi perkembangan kesihatannya di X (Twitter), Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau telah disahkan mempunyai masalah stenosis iaitu tekanan dari slipped disc dan ligamen yang memegang tulang belakang sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.


"Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik dan saya telah boleh berjalan semula," kata beliau yang mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pakar merawatnya.


"Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi seperti masalah kesihatan tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu," katanya


Terdahulu hantaran di Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaparkan beliau menziarahi Rafizi di sebuah hospital sehingga menimbulkan tanda tanya mengenai keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pandan itu yang pernah mengalami serangan jantung pada Oktober lalu.


Rafizi berkata beliau dijangkiti Covid-19 buat kali pertama pada minggu ketiga bulan ini dan terlantar beberapa hari sekali gus menyebabkan berlaku tekanan ke atas tulang belakang sehingga berlaku slipped disc.


"Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit," katanya.


Dalam pada itu, Rafizi memberitahu beliau akan kembali bersiaran pada program podcast Yang Bakar Menteri (YBM) pada Mac dan menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil dan MT UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menawarkan diri untuk bertemunya.


"Namun seperti tertib di dalam sesebuah organisasi, saya wajar mendapat maklum balas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu, saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan MADANI," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page