top of page

Qunut nazilah ke atas muslim: Jangan salah guna demi politik – Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 31
  • 1 min read

ree

Perbuatan menyalahgunakan doa qunut nazilah yang dibaca dalam keadaan tertentu semakin berleluasa dilakukan oleh pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini, termasuk mendoakan kejatuhan Kerajaan Perpaduan dalam demonstrasi Turun Anwar baru baru ini.


Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan (gambar), amalan membaca qunut nazilah terhadap lawan politik atau sesama umat Islam merupakan penyalahgunaan ibadah serta bercanggah dengan roh dan semangat ajaran Islam.


Kata beliau, dalam sejarah Islam qunit tersebut hanya dibacakan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam keadaan darurat seperti peperangan melawan musyrikin, golongan murtad, ataupun ketika ditimpa bencana besar seperti taun dan kebuluran.


"Sedihnya hari ini, ketika umat Islam sepatutnya menujukan qunut nazilah terhadap rejim Zionis Israel yang menindas rakyat Palestin, ada pula yang menyalahgunakan doa ini terhadap sesama saudara Muslim atas alasan politik," katanya dalam satu kenyataan.


Dr Zulkifli menegaskan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi pengamalan yang diwarisi daripada Rasulullah s.a.w dan para salafus soleh, malah boleh merosakkan kefahaman agama serta menyemai benih ekstremisme dalam kalangan umat Islam.


Beliau menambah, para ulama sepakat bahawa doa qunut nazilah tidak dibacakan ke atas sesama Muslim, apatah lagi dalam isu perselisihan politik yang berada dalam ruang lingkup ijtihadi.


"Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya sampai ke tahap mendoakan keburukan sesama umat. Tindakan itu melampaui batas dan boleh mencetuskan perpecahan yang lebih besar dalam masyarakat Islam," kata beliau lagi.


Dr Zulkifli menyeru agar umat Islam kembali kepada prinsip kasih sayang, hikmah dan adab dalam berbeza pandangan, serta menggunakan qunut nazilah pada tempatnya, iaitu demi menentang kezaliman nyata dan mempertahankan ummah daripada musuh sebenar.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page