Qunut Nazilah hancur Kerajaan Perpaduan berbalik ke PN Perlis?
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemimpin Pas-PN terkenal dengan amalan membaca Qunut Nazilah terhadap pihak lawan politik, terutamanya mendoakan kehancuran Kerajaan Perpaduan.
Malangnya sejak selepas Pilihan Raya Umum 2022 belum ada kerajaan pusat atau negeri di bawah Perpaduan yang bubar atau bermasalah. Sebaliknya pada Disember 2025 Kerajaan Negeri ditadbir Pas-PN pula yang hampir tumbang berikutan sejumlah ADUN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Mengulas hal itu, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA), Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni menegaskan, Qunut Nazilah tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya ditujukan terhadap saudara sesama Islam kerana kandungannya adalah khusus untuk menghancurkan musuh Islam seperti Yahudi Israel dan sebagainya.
"Kita dalam politik ini sebenarnya hanya berbeza pandangan dan juga pendekatan. Saya melihat Pas ini agak berlebihan dalam menggunakan elemen agama untuk persaingan politik.

"Jadi ini satu perkembangan yang tidak sihat, dan agak bersifat melampau apabila ditujukan kepada kawan-kawan yang berbeza pandangan dan aliran politik," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau diminta mengulas krisis politik yang hampir menjatuhkan Menteri Besar (MB) Perlis daripada Pas, Mohd Shukri Ramli selain ditanya sama ada Islam membenarkan doa kehancuran terhadap sesama Muslim sebagaimana diamalkan sesetengah pemimpin Pas.
Menyimpulkan perkara berkenaan, Mohd Zawawi yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis berkata, hal tersebut sepatutnya tidak berlaku dalam gelanggang politik tanah air.
Sehingga hari ini, beberapa laporan media memetik sumber menyatakan bahawa lima ADUN Bersatu dan tiga daripada Pas telah menyerahkan Akuan Berkanun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, menyatakan hilang keyakinan terhadap MB.
Lapan ADUN tersebut membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri Perlis yang mempunyai 15 ADUN.
Berita Harian memetik seorang sumber sebagai berkata Bersatu telah menyerahkan tiga nama kepada Tuanku Syed Sirajuddin untuk dipertimbangkan sebagai MB baharu.





