Qunut Nazilah, doakan kejayaan Palestin di semua sekolah ABIM
- Redzuan Shamsudin
- Nov 9, 2023
- 1 min read

Keganasan tanpa penyudah rejim Israel yang telah memakan korban lebih 10,000 orang awam Palestin sehingga kini mewajarkan semua jenis sokongan sama ada material atau doa diusahakan oleh umat Islam Malaysia.
Sehubungan itu, menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, sekolah di bawah kendalian ABIM diarahkan agar para guru dan muridnya membaca doa Qunut Nazilah memohon kekalahan Israel pada setiap solat fardu.
"Pihak kami merujuk kepada serangan ganas tentera Zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang telah melepasi tempoh sebulan.
"Dalam masa sama, laporan media mencatat jumlah warga Palestin yang terkorban telah mencecah angka 10,000 nyawa.
"Oleh itu pihak ABIM mengarahkan seluruh sekolah ABIM untuk membaca Qunut Nazilah dalam setiap Solat fardu bermula hari ini, 9 November 2023," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kata beliau, pihak ABIM juga menerusi Global Peace Mission Malaysia (GPM) telah menggerakkan misi bantuan kemanusiaan khusus untuk rakyat Gaza dengan membuka tabung kutipan.
Beliau turut berharap rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira ideologi politik dalam menyokong perjuangan umat Islam Palestin.
"Pihak ABIM menyeru semua umat Islam bersatu hati bersama kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengecam kekejaman rejim Zionis serta terus berdoa agar Allah SWT memberikan kemenangan kepada perjuangan rakyat Palestin," katanya lagi.
Orang ramai yang ingin menderma GPM boleh melakukannya menerusi #Taufan AlAqsa Peduli Palestin nombor akaun Maybank Islamic 564221611602.
Comments