Putrajaya-Sarawak sepakat selesai isu PETRONAS-PETROS secara rundingan
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Isu berbangkit antara pengendali operasi petroleum PETRONAS dan entiti baharu mengendalikan petroleum dan gas di Sarawak, PETROS diselesaikan melalui meja rundingan.
Sehubungan itu, semalam diadakan pertemuan peringkat tertinggi antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Perdana Putra, Putrajaya semalam.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan.

"Dalam pertemuan ini, Perdana Menteri dan Premier Sarawak telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara PETRONAS dan PETROS
"Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar yang telah dikenal pasti daripada kerjasama PETRONAS dan PETROS dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
"Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN," kata kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.
Kenyataan itu juga menyebut Perdana Menteri dan Premier Sarawak turut mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan.
Kesepakatan itu memadamkan spekulasi sebelum ini bahawa mungkin terdapat penyelesaian yang tergantung atau perlu dibawa ke mahkamah.
Isu PETRONAS dan PETROS yang mengambil alih pengendalian operator minyak dan gas di Sarawak sepatutnya selesai pada Januari 2025, namun terdapat beberapa isu yang memerlukan rundingan pada peringkat tertinggi pentadbiran negeri dan Persekutuan sebelum diselesaikan sepenuhnya.
Comments