top of page

Putrajaya komited segerakan semakan hak 40 peratus Sabah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jan 15
1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen terhadap pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan kekal sebagai keutamaan utama.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mambangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada Rabu.


"Perdana Menteri telah menyatakan kebimbangan serius terhadap pematuhan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan tersebut, dan telah meletakkan isu ini sebagai keutamaan utama dalam mesyuarat Kabinet hari ini," katanya dalam kenyataan.


Mustapha sementara itu menjelaskan, keputusan mahkamah pada 17 Oktober 2025 menetapkan dua garis masa pelaksanaan, iaitu tempoh 90 hari bagi semakan kadar Pemberian Khas Sabah dan tempoh 180 hari untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai persetujuan serta melaksanakan mekanisme pembayaran.


"Tempoh 90 hari telah berakhir dan satu mesyuarat telah diadakan pada 17 November lalu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi memulakan proses semakan awal serta perbincangan mengenai kerangka, parameter dan perkara asas berkaitan pelaksanaan keputusan mahkamah," katanya.


Menerusi kenyataan sama beliau turut memaklumkan, satu kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah diadakan pada 13 Januari 2026.


Pertemuan itu sebagai memperteguh tekad Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan keseluruhan proses semakan mengikut garis masa mahkamah, serta menjunjung kedaulatan undang-undang demi kepentingan rakyat Sabah dan Negara keseluruhannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page