Putra Height: 67 KIR mangsa kebakaran terima bantuan sewa fasa empat
- Suara Keadilan

- 16 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Selangor mengumumkan untuk meneruskan Bantuan Sewa Rumah Sementara Fasa Keempat kepada 67 Ketua Isi Rumah yang terjejas dalam kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya tahun lalu.
Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah (gambar) berkata kelulusan dibuat pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Bilangan 3/2026 yang bersidang pada 21 Jan lepas susulan penilaian terkini serta lawatan tapak oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
"Penilaian mendapati masih terdapat mangsa yang belum dapat kembali ke kediaman masing-masing disebabkan faktor keselamatan, status pembinaan rumah serta isu dokumentasi pemilikan tanah.
"Bagi fasa keempat untuk tempoh Januari hingga Mac 2026, bantuan sewa rumah melibatkan 67 KIR terdiri daripada 65 KIR yang kediamannya masih dalam proses baik pulih, manakala dua KIR melibatkan kediaman yang belum dibina disebabkan isu dokumentasi pemilikan tanah," katanya dalam satu kenyataan.
Borhan sementara itu menegaskan, Kerajaan Selangor kekal komited memastikan kebajikan mangsa terus diberi perhatian secara bersasar, berhemah dan berasaskan penilaian lapangan sehingga keadaan benar-benar pulih dan selamat.
Dalam insiden pada 1 April itu, sebanyak 81 rumah dilapor musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus.
Selain itu, 81 kediaman lain turut dilapor mengalami kerosakan serius, 57 terkesan dan 218 rumah lain termasuk di Kampung Tengah, Puchong tidak terjejas.









Comments