Pusat Respons Penipuan Kebangsaan akan dilancarkan
- Suara Keadilan

- 6 days ago
- 1 min read
Updated: 6 days ago

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan akan melancarkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Cyberjaya dalam beberapa minggu lagi bagi menangani jenayah penipuan kewangan dalam talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, sebelum ini, pusat aduan rakyat untuk jenayah dalam talian beroperasi di Bank Negara sebagai gabungan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Keputusan yang dibuat tahun lepas ialah menjadikan PDRM sebagai peneraju utama, disertai peruntukan khusus dan premis operasi baharu.
"Trend jenayah penipuan, khususnya jenayah komersial, menunjukkan peningkatan kerugian kewangan yang jauh lebih besar berbanding jenayah konvensional.
"Oleh itu, adalah munasabah operasi polis memberi tumpuan lebih kepada jenayah ini," katanya dalam ucaptama sempena Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2026 yang diadakan di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Menurut Saifuddin, pusat NSRC telah mula beroperasi dengan purata sekitar 500 panggilan aduan diterima setiap hari sepanjang 24 jam, dan hampir separuh daripadanya melibatkan kes yang sah.
Katanya, pindaan yang dibuat tahun lalu menetapkan bahawa aduan yang dibuat akan terus dianggap sebagai laporan polis, tanpa perlu hadir ke balai seperti sebelum ini sekaligus memudahkan pengadu.
Untuk rekod, NSRC menumpukan penipuan kewangan dalam talian, iaitu kes di mana mangsa menyedari bahawa wang dalam akaun bank mereka telah dipindahkan tanpa pengetahuan serta kes di mana mangsa telah diperdaya untuk memindahkan wang mereka melalui perkhidmatan kewangan dalam talian.
Di antara kaedah penipuan ini termasuk memancing data (phishing), Macau scam dan serangan perisian hasad (malware).
Mangsa penipuan digalakkan menghubungi talian khusus (hotline) bank-bank mereka atau NSRC melalui talian 997.









Comments