Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini termasuk bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Kesemua pusat pengundian di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan termasuk di Kuala Terengganu dijadual dibuka serentak bermula 8 pagi dan ditutup pada 6 petang hari ini.
Pengundian PRN bakal menyaksikan 9,674,456 pemilih berdaftar mengundi di 3,190 pusat pengundian yang mengandungi 17,048 tempat mengundi atau saluran, manakala 122,160 pengundi akan terbabit dengan proses pengundian di PRK Parlimen Kuala Terengganu melalui 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 saluran.
Pada Selasa (8 Ogos), pengundian awal PRN berlangsung yang menyaksikan 72,554 anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jumlah peratusan keluar mengundi di Kedah adalah 96.02 peratus, Terengganu (95.91), Selangor (95.87), Pulau Pinang (95.01), Negeri Sembilan (94.05) dan Kelantan (93.90).
Di PRK Parlimen Kuala Terengganu seramai 1,286 pengundi atau 95.47 peratus anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada hari sama.
PRN ini membabitkan pertandingan 40 kerusi Dun di Pulau Pinang, Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Terengganu (32) dan 45 Dun di Kelantan.
570 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya enam negeri, manakala PRK Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan dan PAS.
PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.
Kommentare