Pusat kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar N Sembilan
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan meskipun wujud pengisytiharan pelantikan Yang di-Pertuan Besar baharu oleh sekumpulan Undang Yang Empat hari ini.
Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu mematuhi jalur hukum yang sah serta menghormati Perlembagaan dan peraturan yang menjadi asas kepada Institusi Raja.
"Atas dasar itu, Kerajaan Persekutuan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Saya menghormati hak mana-mana pihak untuk mengambil tindakan mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang dan Perlembagaan," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Anwar berkata, sebarang usaha untuk menggugur atau memakzulkan seseorang Raja bukan perkara kecil kerana ia membawa implikasi yang besar terhadap kestabilan, keamanan serta keharmonian negeri dan negara.
Beliau menjelaskan setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara tertib, berlandaskan Perlembagaan serta memelihara kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan Institusi Raja yang menjadi salah satu tonggak penting negara.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada pengisytiharan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang diadakan di Melaka hari ini oleh wakil Undang Yang Empat.
Pengisytiharan itu dibuat kurang 24 jam Menteri Besar Datuk Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa hari ini setelah mendapat perkenan Tuanku Muhriz semalam.
Tunku Nadzaruddin sebelum ini turut dinamakan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu selepas empat Undang mengumumkan pelucutan Tuanku Muhriz pada 19 April lalu.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Sembilan dan Istana Besar Seri Menanti tidak mengiktiraf pengisytiharan tersebut dengan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan itu tidak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pertikaian itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar perlembagaan yang berpendapat prosedur yang ditetapkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan perlu dipatuhi sepenuhnya sebelum sebarang tindakan terhadap Yang di-Pertuan Besar boleh dilaksanakan.
Sejak pengisytiharan pada April lalu, Tuanku Muhriz terus menjalankan fungsi rasmi sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan termasuk merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri dan menerima menghadap pimpinan kerajaan negeri.
Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan sistem pemilihan Yang di-Pertuan Besar oleh Undang Yang Empat mengikut Adat Perpatih, berbeza daripada sistem pewarisan takhta yang diamalkan di kebanyakan negeri Melayu lain.




Comments