Pusat Kawalan Nasional Bandar Pintar bakal dibangunkan
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read

Kerajaan Persekutuan merancang penubuhan Pusat Kawalan Nasional Bandar Pintar, bagi menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif bandar pintar yang sedang dijalankan di seluruh negara.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pusat bersepadu itu akan berfungsi sebagai hab penyelarasan nasional yang memantau data masa nyata insiaitif yang telah bermula di beberapa bandar utama.
"Banyak bandar di negara ini telah memulakan pelaksanaan inisiatif pintar. Tapi sekarang kita perlukan satu sistem yang menyelaras semua inisiatif ini secara sistematik menerusi satu pusat kawalan yang terancang.
"Bandar-bandar itu bergerak aktif ke arah digitalisasi dan memiliki pendekatan berbeza dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar, termasuk penggunaan data untuk pemantauan trafik, keselamatan dan pengurusan tenaga.
"Apa yang kita ingin lakukan sekarang ialah mengumpulkan semua inisiatif ini dan menyusun semula kerangka pelaksanaannya agar bandar-bandar ini dapat saling berkongsi kepakaran dan teknologi," katanya dipetik.
Gobind berkata begitu pada majlis pelancaran rasmi kira detik 100 hari ke Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) pada Rabu.
SCEKL25 dijadual berlangsung dari 17 hingga 19 September sebagai meletakkan Malaysia sebagai peneraju inovasi bandar pintar, transformasi digital dan pembangunan mampan di rantau ini.
Sementara itu mengulas lanjut mengenai penubuhan Pusat Kawalan Nasional Bandar Pintar, Gobind berkata, satu sidang meja bulat akan diadakan tidak lama lagi melibatkan semua Datuk Bandar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Salah satu matlamat utamanya ialah membentuk satu rangka kerja koperasi nasional bandar pintar yang akan mengukuhkan integrasi digital di seluruh negara dan mempercepat penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan data raya (big data) dalam pengurusan bandar.
"Akhirnya, kita mahu ada satu pusat kawalan nasional yang pintar. Sasaran kita ialah untuk melaksanakannya sebelum akhir tahun ini," katanya.
Comments