top of page

Pusat data AI antara pelaburan RM27 bilion di Negeri Sembilan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

DS Aminuddin membentangkan pelaburan RM27 bilion di Dewan Undangan Negeri. Foto: Negeri Kita
DS Aminuddin membentangkan pelaburan RM27 bilion di Dewan Undangan Negeri. Foto: Negeri Kita

Negeri Sembilan dijangka menerima kemasukan pelaburan asing baharu lebih RM27 bilion bermula tahun depan melibatkan beberapa sektor termasuk perkhidmatan logistik, pembuatan dan digital.


Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaburan itu bakal diterima menerusi lima firma antarabangsa melibatkan sektor-sektor terbabit.


"Pertamanya, projek gudang sejuk beku pintar bertingkat dari Jepun yang akan menjalankan operasi di Techpark 2, Enstek dengan nilai pelaburan RM300 juta (logistik) dan projek peralatan perubatan yang juga dari Jepun di Sendayan Techvalley (RM280 juta) melibatkan sektor pembuatan.


"Selain itu, projek elektrik dan elektronik (E&E) semikonduktor dari Belanda di Senawang (RM2 bilion) dengan fasa pertama dianggarkan dengan nilai pelaburan sekitar RM300 juta.


"Seterusnya, projek kampus data kecerdasan buatan (AI) dari Amerika Syarikat dikenal pasti dibangunkan di Bandar Springhill, Lukut (RM5 bilion)," katanya bagi menjawab soalan Siau Meow Kong (PH-Rahang) pada sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan hari ini.


Aminuddin yang juga Exco Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata pelaburan juga melibatkan projek pusat data AI keseluruhan bernilai RM20 bilion dari Australia dengan fasa pertama dijangka mencecah rekod pelaburan RM10 bilion yang bakal ditempatkan di Negeri Sembilan Semiconductor Valley, parcel F, Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0).


Beliau menjelaskan kelima-lima projek strategik itu bertumpu di Seremban dan Port Dickson yang terletak dalam Wilayah MVV 2.0 iaitu kawasan pertumbuhan utama yang kini menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berimpak tinggi di Negeri Sembilan.


Berdasarkan momentum semasa, kerajaan negeri menjangkakan pelaburan baharu khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan akan terus berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang, ujarnya.


Kata beliau pertumbuhan itu dijangka rancak dalam tempoh lima tahun akan datang didorong oleh pembukaan kawasan industri baharu yang strategik serta dilengkapi jaringan jalan raya yang baik, infrastruktur moden serta ekosistem sokongan komprehensif.


"Dengan hala tuju pembangunan jelas, perancangan berpandangan jauh serta komitmen menyeluruh semua pihak, Negeri Sembilan berada pada kedudukan optimum untuk muncul sebagai hab pelaburan serantau yang dinamik," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page