'Pupuk semangat jitu, bangkit sebagai satu angkatan'
- Suara Keadilan

- 11 hours ago
- 2 min read

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh pimpinan dan anggota parti agar bangkit sebagai satu angkatan yang bersatu mempertahankan hak rakyat serta menolak fahaman perkauman sempit.
Menurut beliau, parti tidak boleh leka dengan polemik kecil sebaliknya perlu menumpukan perhatian kepada isu besar seperti tadbir urus bersih, pembasmian kemiskinan dan keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.
"Hari ini kita semua yang ada harus bangkit sebagai satu angkatan, pupuk semangat jitu gilap semula (perjuangan)," katanya ketika berucap di Konvensyen KEADILAN Selangor 2026, di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan tidak boleh sekadar retorik tanpa tindakan.
"Jangan cakap banyak (kalau) ranting pun tidak ada, jangan bising (kalau) cabang pun lembab. Kalau mahu betul berjuang, angkat martabat rakyat," katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa KEADILAN adalah parti pelbagai kaum yang menjaga hak semua rakyat, Melayu, Cina, India, Orang Asli dan sebagainya.
Dalam masa sama, beliau menyindir sikap pembangkang yang lantang terhadap isu remeh tetapi berdiam diri apabila berdepan skandal besar.
"Nampak kita lembut sikit dia hentam, orang curi duit dia diam. Bilion ringgit disakau diam, benda titik bengik dibangkitkan," katanya.
Menurut beliau, politik sempit berasaskan warna kulit, bentuk fizikal atau sentimen perkauman pula tidak mempunyai tempat dalam perjuangan KEADILAN.
"Ini bising warna kulit, heboh tinggi rendah hidung, mata bulat atau sepet. Apa jenis manusia begini? Orang yang sibuk soal begini dia salah pilih parti," katanya, sambil menegaskan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan tidak pernah membawa maksud menyuburkan fahaman sempit mempersoalkan agama lain atau kaun minioriti.
Selain itu, Anwar juga menolak dakwaan tidak berasas berkaitan isu sempadan dan kedaulatan negara yang dimainkan pihak tertentu.
"Ini soal sempadan dibangkitkan, tak faham baca. Senang-senang buat kenyataan kononnya wilayah Malaysia diserahkan kepada Indonesia," katanya.
Beliau turut membidas bekas menteri kerajaan lalu yang hanya bercakap soal prinsip selepas tidak lagi memegang kuasa.
"Masa tak ada kuasa sekarang sebut soal prinsip. Prinsip apa? Sakau minyak masak, sakau tanah, sakau harta. Sekarang cakap soal prinsip," ujarnya.
Beliau mempersoalkan tindakan pemimpin terdahulu yang gagal melaksanakan 'perjuangan membela Melayu' ketika diberi mandat.
"Berapa ramai mantan Menteri di Parlimen, nak buat itu, ini.... semasa kamu ada kuasa mengapa tak buat? Tak tolong Melayu? Ada satu inci Rizab Melayu di Kuala Lumpur? Tak ada, kita parti pelbagai kaum, agama. Tidak pernah war warkan juara kaum tetapi kita juara keadilan, berikan yang hak.
"Lihat kes kemiskinan tegar, rekod kita paling banyak selesai masalah miskin tegar. Inilah kerajaan paling banyak selesai miskin tegar," katanya lagi.









Comments