top of page

GTSM puji JPJ, hukuman terhadap pemandu warga asing jangan diringankan - GTSM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 58 minutes ago
  • 1 min read

Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) merakamkan penghargaan dan pujian kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas tindakan tegas terhadap pemandu warga asing yang melakukan kesalahan lalu lintas di negara ini.


Presiden Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussan (gambar) berkata, pihaknya menghargai kepimpinan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli atas komitmen berterusan memperkasa penguatkuasaan undang-undang jalan raya.


"GTSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Pengarah JPJ atas kepimpinan, ketegasan dan komitmen berterusan dalam memastikan undang-undang jalan raya dikuatkuasakan tanpa kompromi," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan atas pelaksanaan operasi yang disifatkan tersusun, berfokus dan berimpak tinggi.


"Statistik pendedahan JPJ yang merekodkan ratusan ribu saman terhadap pemandu warga asing sejak tahun 2023 jelas membuktikan kesungguhan JPJ dalam memastikan keselamatan jalan raya, kedaulatan undang-undang, serta keadilan kepada pengguna jalan raya tempatan, terutamanya pemandu teksi yang sentiasa mematuhi peraturan," ujarnya.


Dalam pada itu, GTSM mencadangkan supaya semua pemandu warga asing yang dikenakan saman diwajibkan menjelaskan bayaran dalam tempoh segera tanpa sebarang kelonggaran.


"Tindakan ini penting bagi mengelakkan pengulangan kesalahan, sikap sambil lewa terhadap undang-undang serta ketirisan hasil penguatkuasaan," katanya.


GTSM juga merayu kepada institusi kehakiman agar tidak meringankan hukuman terhadap kesalahan jalan raya melibatkan pemandu warga asing dan pemandu kereta sapu.


Beliau berkata, GTSM akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan dan seluruh warga kerja JPJ dalam usaha memastikan sistem pengangkutan jalan raya negara kekal selamat, berdisiplin dan berintegriti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page