Konvensyen KEADILAN Selangor medan satukan tekad perjuangan - Saifuddin
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Konvensyen KEADILAN Selangor 2026 yang berlangsung pagi tadi menjadi medan penting untuk memperkukuh kesiapsiagaan parti dalam mempertahankan kemenangan, sekali gus memastikan KEADILAN terus kekal sebagai kuasa politik dominan di Selangor.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, berkata konvensyen tersebut dianjurkan sebagai usaha menyatukan kembali tekad perjuangan serta meniupkan semula semangat reformasi dalam kalangan anggota parti di semua peringkat.
Menurut beliau, Pengerusi KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, telah mengupas secara tuntas peranan strategik Selangor sebagai negeri tunjang kepada kekuatan dan kelangsungan parti di peringkat nasional.
"Beliau turut mengulangi komitmen untuk memastikan Selangor terus menjadi benteng utama KEADILAN, selain menyeru seluruh anggota agar memperkukuh gerak kerja dan jalinan politik di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi cabaran mendatang," katanya dalam kenyataan.
Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Melawati itu dirasmikan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri lebih 2,000 anggota KEADILAN dari seluruh Selangor.
Ia turut dihadiri Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh dan pimpinan utama peringkat pusat dan negeri.
Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN sementara itu berkata, konvensyen turut diisi dengan beberapa sesi termasuk pembentangan kawasan Parlimen tumpuan dan prestasi semasa Cabang parti.
"Pada konvensyen ini, isu Undi 18 telah dibangkitkan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, manakala Ketua Wanita Keadilan Selangor berkongsikan penerangan mengenai program Sukma Waja - Insiatif memperkasa wanita di bandar dan desa oleh Wanita KEADILAN.
"Kemuncak acara adalah pelancaran maskot rasmi KEADILAN Selangor yang mengambil Beruang Matahari sebagai tema, mengambarkan daya tahan serta sifat adaptif haiwan tersebut yang sesuai dengan sifat rakyat dan negeri Selangor," tambah Saifuddin.
Saifuddin sementara itu turut menyifatkan ucaptama Presiden yang memberi penghargaan kepada semua anggota yang masih teguh dalam perjuangan sebagai satu suntikan semangat kepada peserta yang hadir.
"Datuk Seri Presiden menggesa semua pihak bangkit menyokong agenda pembersihan negara daripada rasuah dan penyelewengan sambil menyatakan tekad memberikan perkhidmatan terbaik selaku pimpinan Kerajaan Perpaduan demi memenuhi mandat rakyat," katanya menerusi kenyataan tersebut.









Comments