Keselamatan Internet : Isu keluarga, masyarakat bukan lagi teknikal
- Suara Keadilan

- 47 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Walaupun pelbagai peringatan atau amaran berkaitan `bahaya’ salah guna internet dalam kalangan kanak-kanak namun masih ramai ibu bapa memandang ringan terhadap bahana tersebut jika tidak dikawal.
Oleh itu langkah meningkatkan kesedaran internet dengan mengadakan sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada hari esok adalah sangat wajar.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menampilkan pendekatan edutainment (pendidikan dan hiburan) yang sesuai untuk ibu bapa, remaja, pelajar dan keluarga.
Sambutan HKI 2026 akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang seterusnya melancarkan Kempen Internet Selamat 2026.
Tema HKI 2026 ialah - Teknologi Pintar, Pilihan Selamat - dengan penekanan kepada penggunaan teknologi dan AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
HKI 2026 dianjurkan dengan maksud untuk membawa perbincangan tentang kanak-kanak, AI, penipuan dalam talian dan tanggungjawab digital ke ruang awam secara santai, mudah difahami dan dekat dengan rakyat.
Fokus kepada perubahan sikap
Ini kerana, isu keselamatan internet kini merupakan isu keluarga dan masyarakat, bukan lagi isu teknikal semata-mata.

Ia relevan diperbincangkan antaranya disebabkan kanak-kanak semakin awal terdedah kepada Internet dan teknologi AI, penipuan dan scam dalam talian semakin kompleks dan ramai pengguna tidak sedar risiko harian melalui peranti mudah alih yang sudah keperluan dalam kehidupan.
Dengan itu, HKI 2026 akan memberi fokus kepada perubahan sikap dan kesedaran, bukan sekadar amaran.
Antara yang menarik dalam sambutan HKI 2026 ialah:
* Pocket talk dan perbincangan santai tanpa bahasa teknikal
* Aktiviti interaktif dan pameran keselamatan digital
* Program komuniti dan keluarga
* Kandungan mesra visual dan media sosial
* Pendekatan kesedaran tanpa sensasi
Orang ramai adalah digalakkan hadir untuk sama-sama memanfaatkan penggunaan internet yang selamat dalam keluarga masing-masing.
HKI 2026 bukan semata-mata acara rasmi, tetapi satu platform nasional untuk membentuk budaya penggunaan Internet yang lebih selamat, sedar dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia.









Comments